Penduduk menafikan desas-desus yang mendakwa sebuah daripada 14 buah banglo yang ranap di Bukit Antarabangsa pada 6 Dis lepas, merupakan sebuah kasino.Mangsa yang juga penduduk di situ Datuk Shahrudin Adnan menyifatkan khabar angin itu "fitnah dan tidak benar sama sekali" lapor Bernama.
"Sememangnya tidak ada pusat kasino di perumahan kami, macam mana boleh ada timbulnya cerita ada pusat kasino di sini.
"Ini tidak benar," beliau dipetik berkata kepada media hari ini.
Shahrudin AdnanBeliau juga turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ada di kalangan penduduk yang keluar dari rumah dengan membawa beberapa buah peti wang tunai semasa runtuhan berlaku.
"Semasa kejadian (tanah runtuh) itu berlaku, tidak ada jiran-jiran saya yang keluar dengan membawa peti wang tunai.
"Mereka hanya sempat membawa dokumen penting semasa menyelamatkan diri, jadi isu ini tidak sepatutnya timbul," katanya, lapor agensi itu lagi.
Menurutnya, tuduhan bahawa polis tidak menjalankan tanggungjawab mereka juga tidak berasas dan tidak boleh diterima akal.
"Pada waktu kejadian pasukan polis tiba seawal pukul 5 pagi lagi, mereka cuba membantu mangsa untuk keluar dari kawasan runtuhan, tetapi sukar kerana keadaan yang masih gelap.
"Tolonglah jangan kontroversikan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan seperti ini. Perkara ini bukan sahaja memburukkan nama penduduk tapi juga pihak-pihak lain.
"Cukuplah dengan apa yang telah kami lalui," kata Shahrudin yang turut kehilangan seorang anak Shaiful Khas Shahrudin, 20, dalam tragedi itu yang meragut tiga lagi nyawa.
No comments:
Post a Comment