KUALA TERENGGANU - Seorang warga tua yang dipercayai sedang bersembahyang maut apabila terperangkap di dalam rumahnya yang terbakar di Kampung Mengabang Telong di sini petang semalam.Mayat mangsa, Lijah Mat Amin,81, ditemui rentung di bahagian ruang tamu selepas dipercayai cuba keluar menerusi pintu hadapan rumah semasa kejadian pukul 1.15 petang itu.
Kejadian malang itu disaksikan oleh cucu mangsa, Rozita Ismail, 28, yang ketika itu berada di luar rumah ibunya yang terletak berhampiran rumah mangsa.
Menceritakan kejadian itu, Rozita yang bekerja di sebuah kedai buku di Wakaf Tengah di sini berkata, ketika itu dia pulang untuk makan tengah hari pada waktu rehat.
Ujarnya, sebaik sampai di rumah ibunya yang hanya kira-kira 15 meter dari rumah neneknya, dia terdengar satu letupan kuat dari arah rumah berkenaan.
"Apabila saya berpaling saya terkejut melihat rumah itu sedang dijilat api. Saya meluru ke sana dan cuba masuk tetapi api sedang marak dan kayu pintu yang terbakar menghalang saya.
"Apa yang mampu saya buat ialah menjerit minta tolong dan kemudiannya menghubungi bomba," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam. - Kosmo
No comments:
Post a Comment