BAGHDAD 22 Dis. - Wartawan Iraq yang membaling kasutnya ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, Muntadar Al-Zeidi akan mengemukakan saman terhadap pengawal keselamatan yang beliau dakwa telah memukulnya selepas insiden itu.
Peguam wartawan itu, Dhiya al-Saadi semalam berkata, Muntadar telah memfailkan aduan terhadap pihak yang menyerangnya.
Mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu, berkhidmat dalam pasukan keselamatan di pejabat media Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki.
"Tubuhnya (Muntadar) lebam-lebam, sebatang gigi atasnya patah dan mata kirinya merah dan semua kecederaan itu disahkan melalui pemeriksaan perubatan," kata peguam itu.
Muntadar, 29, menarik perhatian seluruh dunia apabila beliau melemparkan sepasang kasutnya ke arah Bush semasa Presiden AS itu melakukan lawatan perpisahan ke Baghdad pada Ahad lepas.
Selepas melemparkan kasutnya, Muntadar telah dijatuhkan oleh pasukan keselamatan dan ditangkap.
"Muntadar mengalami kecederaan tersebut akibat dipukul dan dikasari dalam tempoh beberapa jam selepas dia ditangkap.
"Dia tidak lagi dipukul atau dianiaya setelah dipindahkan ke penjara," kata Dhiya.
Seorang hakim siasatan pada Khamis lalu berkata, Muntadar dalam keadaan sihat tetapi mukanya "menunjukkan tanda-tanda kena pukul."
Hakim berkenaan menyatakan bahawa Muntadar cedera semasa ditangkap dan bukan semasa dalam tahanan atau disoal siasat selepas itu.
Menurut Dhiya, siasatan mengenai tindakan Muntadar membaling kasutnya ke arah Bush sudah selesai dan tarikh perbicaraan ke atasnya dijangka ditetapkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Nuri semalam berkata, terserah kepada mahkamah untuk memutuskan tindakan yang patut diambil ke atas Muntadar. - Utusan
No comments:
Post a Comment