08 December 2008

JPJ tahan lima ulat tiket di Puduraya, Hentian Putra

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan lima ulat tiket bas di Hentian Puduraya dan Hentian Putra di ibu negara dalam operasi yang dijalankan sempena Hari Raya Aidiladha sejak kelmarin.

Pengarah Penguat kuasanya, Salim Parlan berkata, empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 23 hingga 46 tahun ditahan semalam manakala seorang lagi lelaki berusia 21 tahun ditangkap hari ini.

"Empat kes dikesan di Hentian Puduraya sementara satu lagi di Hentian Putra dan kesemua mereka akan didakwa selepas JPJ melengkapkan kertas siasatan," katanya pada sidang akhbar di pejabat JPJ Wangsa Maju di sini hari ini.

Salim berkata, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 110A Akta Pengangkutan Jalan dan bakal berhadapan denda maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau memberitahu, selain dua hentian di ibu negara itu, turut dipantau ialah terminal-terminal bas di Johor Bahru, Perak dan Pulau Pinang.

"Menjelang musim perayaan ini, kegiatan ulat tiket dijangka lebih aktif, oleh itu kita meningkatkan penguatkuasaan untuk mencegah mereka daripada menipu orang ramai.

"Kadang-kadang tiket yang dijual itu adalah bas haram dan dengan harga yang lebih mahal. Lebih teruk, bas itu tidak wujud langsung," jelas beliau.

Salim menasihati orang ramai supaya membeli tiket di kaunter-kaunter yang disediakan dan tidak melayan tawaran ulat-ulat. - Utusan

No comments:

Post a Comment