19 December 2008

Insiden baling kasut jadi gurauan pemimpin Latin

COSTA DO SAUIPE, Brazil 18 Dis. - Pemimpin Amerika Latin yang bermesyuarat di Brazil minggu ini menjadikan Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush sebagai bahan gurauan ekoran insiden beliau dibaling kasut di Iraq baru-baru ini.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva adalah antara mereka yang tidak dapat menahan diri daripada berjenaka mengenai insiden di Baghdad pada Ahad lalu apabila seorang wartawan Iraq melemparkan kasutnya ke arah Presiden AS itu.

"Tolonglah, jangan ada sesiapa yang menanggalkan kasut di sini.

"Dalam cuaca panas sebegini, kalau ada orang yang membuka kasut, kita akan tahu dengan serta-merta kerana baunya," kata Lula sambil disambut gelak ketawa wartawan dan ahli politik, pada permulaan sidang media semalam.

Lula sebelum itu mengancam untuk membaling kasut ke arah pengkritik Bush paling lantang di Amerika Latin, Hugo Chavez jika Presiden Venezuela yang suka berucap dengan meleret-leret itu bercakap melebihi masa yang ditetapkan.

'Ugutan' itu menggelikan hati pegawai dari 33 negara Amerika Latin dan Caribbean pada sidang kemuncak yang menonjolkan pendirian negara rantau ini yang semakin bebas daripada pengaruh AS.

Mereka juga menyambut kehadiran Cuba buat kali pertama pada sidang itu.

Presiden Cuba, Raul Castro yang melakukan lawatan pertama ke luar negara sejak mengambil alih jawatan itu daripada abangnya, Fidel, turut kedengaran mempersendakan Bush berhubung insiden dibaling kasut tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment