23 December 2008

Hanya salah faham – Farid

KUALA LUMPUR 22 Dis. – TV3 menyifatkan kekecohan yang timbul ekoran wartawannya dihalang daripada membuat liputan majlis akad nikah penyanyi popular, Asmawi Ani atau Mawi sebagai salah faham.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, perkara itu merupakan salah faham yang kecil dan boleh diatasi dengan baik.

“Kami memang menghormati dan akur dengan hak eksklusif pihak Astro.

‘‘Industri kita hanya kecil dan jika ada hak eksklusif sedemikian sebaiknya perlulah maklumkan masa bila yang boleh dibuat liputan dan masa bila yang tidak boleh supaya tidak timbul sebarang salah faham,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Persona Nona yang berlangsung di Carcosa Seri Negara di sini hari ini.

Menurut beliau, TV3 juga sebelum ini pernah mendapat hak eksklusif menyiarkan majlis perkahwinan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

‘‘Pada masa itu, kami ada hantar surat-surat jemputan kepada stesen TV lain untuk sama-sama membuat liputan tetapi memaklumkan terlebih dahulu bahawa mereka tidak boleh membuat liputan ketika waktu eksklusif pernikahan,” jelasnya.

Pada majlis akad nikah Mawi, 27, dan pasangannya, Nora’Ashikin Rahmat atau Ekin, 29, yang berlangsung di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada Sabtu lalu, wartawan TV3 dihalang untuk membuat liputan.

Kekecohan timbul berikutan salah faham pihak TV3 yang hadir ke majlis itu yang menyangkakan peluang membuat liputan berita visual pada majlis pernikahan turut diberikan kepada semua media.

Bagaimanapun, kata Farid, pihaknya masih diberi peluang menemubual penyanyi tersebut dan pasangannya selepas majlis akad nikah berkenaan.

Beliau menambah, Mawi merupakan penyanyi yang amat diminati.

Justeru beliau berpendapat, ada ketikanya stesen-stesen televisyen perlu bergabung dalam memastikan seluruh penonton mendapat laporan terbaik. - Utusan

* Masa dia tidak boleh, masa orang lain baik gabung. Macam itulah, bila sudah biasa tidak adil

No comments:

Post a Comment