30 December 2008

Ceramah PAS "ISA" kecoh, Pewaris serah memorandum ternakan babi

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 anggota pertubuhan bukan kerajaan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) berkumpul di hadapan Stadium Bandar Baru Bangi dekat sini malam ini bagi menyerahkan memorandum meminta PAS membantu usaha memansuhkan ternakan babi di Masjid Tanah, Melaka.

Ketika itu sedang berjalan ceramah perdana bertajuk "Mansuhkan ISA" anjuran PAS dan sedikit kekecohan berlaku apabila wakil penganjur menghalang anggota Pewaris memasuki stadium kerana mendakwa ia menjejaskan kelancaran program itu.

Bagaimanapun selepas lebih 10 minit berunding, penganjur membenarkan hanya lima anggota Pewaris memasuki stadium itu bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Timbalan Pengerusi Pewaris, Rahimuddin Md Harun seterusnya menyerahkan memorandum itu kepada Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Pewaris dan Gabungan Gerakan Melayu Muda (GGMM) mewakili penduduk enam buah perkampungan di Melaka yang mahukan pemimpin PAS membantu mereka menyelesaikan masalah ternakan babi yang semakin berleluasa.

Kira-kira 30 anggota polis dari Ibu Polis Daerah Kajang berkawal di kawasan stadium bagi mengawal keadaan.

Sementara itu, Rahimuddin berkata, penyerahan memorandum itu adalah bagi meminta pertolongan pemimpin PAS untuk menyelesaikan masalah babi di Melaka."Pewaris yang bertindak mewakili badan bukan Kerajaan (NGO) Islam, persatuan-persatuan seni, barisan dan organisasi budaya Melayu menentang sekeras-kerasnya ladang serta ternakan babi di Melaka khususnya di kawasan Masjid Tanah yang majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu," katanya.

Katanya, pelbagai saluran telah dilakukan gerakan itu bagi menyelesaikan masalah babi, namun sehingga kini tiada tindakan diambil dan oleh kerana itulah mereka meminta bantuan PAS sebagai jalan terakhir.

"Kita tak mahu masyarakat khususnya umat Islam di sana menerima tempias akibat wabak penyakit bawaan babi yang mengancam kesihatan serta mengakibatkan pencemaran sungai sebagai satusatunya sumber air bersih negeri ini," katanya.

Antara kawasan yang terbabit adalah Pengkalan Balak, Sungai Tuang dan Paya Mengkuang. - Mstar

No comments:

Post a Comment