23 December 2008

Abu Zahar diura-ura sertai PAS - Malaysiakini

Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Abu Zahar Hashim - yang digantung tiga tahun susulan mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - dijangka menyertai PAS esok.

Ketua Pemuda Umno bahagian itu, Nor Azman Mohd Nor berkata, berita kemasukan Abu Zahar tersebut sudah tersebar dalam kalangan ahli-ahli Umno bahagian.

"Beliau keluar Umno kerana kecewa setelah digantung jawatan ketua bahagian selama tiga tahun oleh Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini," katanya ketika diminta mengulas desas-desus tersebut.

Abu Zahar digantung jawatan tersebut awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Difahamkan bekas kapten itu akan menyerahkan borang menyertai PAS dalam satu majlis di di sebuah hotel di Ampang, pagi esok.

Malaysiakini sejak beberapa hari lalu bagaimanapun gagal menghubungi Abu Zahar untuk mengesahkan ura-ura tersebut.

Nor Azman menambah, penyertaan Abu Zahar tidak akan menjejaskan Umno kerana pemimpin politik itu mungkin akan diikuti oleh 10 hingga 20 orang ahli sahaja.

"Petaling Jaya Selatan mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan tindakan keluar parti oleh beberapa orang tidak menjejaskan parti," katanya.

Bekas naib ketua bahagian itu Aris Ripen turut mengesahkan berita Abu Zahar akan keluar daripada Umno telah luas tersebar, termasuk di beberapa blog.

"Tetapi saya tidak boleh mengesahkannya kebenarannya, tetapi ramai yang telah bercakap.

"Kita tunggu esok untuk menentukan sama ia benar atau tidak," katanya.

Ketiadaan Abu Zahar tidak menjejaskan kekuatan Umno di bahagian tersebut kerana ribuan lagi masih setia dengan parti.

"Datuk Abu Zahar tidak ikhlas dalam perjuangan," katanya.

* Tambah lagi orang kuat

No comments:

Post a Comment