24 November 2008

Tahanan mati gantung diri di lokap - Polis

ALOR STAR 23 Nov. - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai menggantung diri di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, R. Suria, 29, dipercayai mati antara pukul 3 hingga 5.30 petang di dalam sel lokap tersebut dengan menggantung diri menggunakan sehelai tuala.

"Lelaki ini ditahan reman Jumaat lalu di Kulim kerana disyaki terlibat dengan beberapa kes rogol bersiri di sekitar kawasan tersebut.

"Suspek juga dipercayai terlibat dengan kes samun senjata api di sebuah kedai emas di Jitra baru-baru ini dan dibawa ke IPK untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Syed Ismail, sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, seorang doktor dari Hospital Sultanah Bahiyah dibawa ke lokap dan mengesahkan suspek telah mati.

Mayat suspek kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat

Sementara itu, ibu mangsa, S. Kanaghambal, 54, berkata, dia tidak menyangka anaknya membunuh diri kerana tidak mempunyai sebarang masalah.

"Saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira pukul 8 malam semalam apabila diberitahu oleh dua orang anggota polis di rumah saya di Taman Lobak Paya, Kulim," jelasnya.

Ujarnya, dia tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis yang seolah-olah cuba menyembunyikan anaknya setelah ditahan Jumaat lalu.

"Saya tidak dibenarkan untuk berjumpa dengannya dan saya tidak percaya dia telah membunuh diri. Saya akan menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya," jelasnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment