24 November 2008

Konstabel parah dibelasah

MELAKA 23 Nov. - Seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera parah dibelasah kira-kira 30 orang lelaki di kawasan sebuah restoran berhampiran Ayer Keroh, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi itu, mangsa, Mohd. Fairuz Shafie, 22, cedera parah di bahagian kepala akibat dipukul dengan topi keledar oleh sekumpulan lelaki.

Mangsa yang sudah tiga tahun bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka (HM) dan dilaporkan tenat.

Mohd. Fairuz yang masih bujang, berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Mansor berkata, kejadian dipercayai berlaku sewaktu anggota terbabit berada di kawasan tersebut selepas selesai menjalankan tugas di IPK.

"Secara tiba-tiba sekumpulan lelaki memukul dan menyerangnya dengan topi keledar hingga menyebabkan mangsa mengalami cedera parah.

"Kita masih menyiasat punca dan motif kejadian ini berlaku," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, kata Mazlan, pihaknya menahan 15 lelaki berusia 18 hingga 42 tahun termasuk tiga daripadanya menerima rawatan di HM kerana cedera ringan dalam insiden tersebut.

Menurutnya, kesemua mereka direman sejak semalam sehingga 28 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

"Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman turut terlibat menjalankan siasatan kes ini secara terperinci termasuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab," jelas beliau.

Beliau berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian itu dapat tampil menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bagi membantu siasatan. - Utusan

No comments:

Post a Comment