30 November 2008

Syed Hamid: Bukan 'jenaka yang boleh dipermainkan'


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Orang Melayu perlu bangkit dan menghentikan segala bentuk kritikan daripada kaum lain yang mahu menolak konsep ketuanan Melayu di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan kesedaran daripada orang Melayu perlu bagi memberi amaran kepada semua pihak bahawa perkara berkaitan ketuanan Melayu bukanlah 'jenaka yang boleh dipermainkan'.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengingatkan kaum lain supaya tidak menganggap seolah-olah orang Melayu tidak mempunyai rasa sensitif dengan terus mempertikaikan hak mereka.

''Jangan ingat orang Melayu senyap selama ini bermakna tidak berperasaan. Kita tidak mahu berpeluk tubuh lagi dan kini mahu bangkit menegakkan hak yang tidak perlu dipertikaikan sesiapa.

''Orang Melayu perlu sedar selama ini kita telah banyak tercabar. Kita tidak pernah mempertikaikan mereka dan malah menghormati hak antara kaum yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu yang disifatkan beliau sebagai tidak lagi relevan.

Syed Hamid berkata, sebagai bekas menteri, Soi Lek sepatutnya lebih faham perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya lagi, isu sensitif yang ditimbulkan oleh bekas Menteri Kesihatan itu dilihat 'sepak mula' yang akan membawa kemarahan orang Melayu.

Jelasnya, kenyataan panas itu juga tidak seharusnya timbul daripada seorang pemimpin MCA yang seharusnya berdiri teguh di belakang prinsip Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, orang Melayu sendiri sudah lama bersabar namun sikap itu bukan bermaksud kaum terbesar di negara ini boleh diperlekehkan dengan sesuka hati.

Beliau turut melahirkan rasa hairan mengapa masih ada pertikaian terhadap orang Melayu yang jelas masih di belakang dari pelbagai sudut berbanding kaum lain.

''Kita tidak tahu mengapa isu ketuanan Melayu masih ditimbulkan sedangkan mereka tahu pencapaian orang Melayu masih lagi di belakang.

''Selama ini kita juga telah bersetuju dengan hak kaum yang telah termaktub. Jangan membanding atau menyamakan hak antara kaum yang telah sedia ada selama ini," tegasnya. - utusan

No comments:

Post a Comment