22 November 2008

Shahrizat: 'Saya dipaksa terima pelan peralihan Wanita'

PETALING JAYA: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang kelmarin mendedahkan pendiriannya mahu mencabar Tan Sri Rafidah Aziz bagi kerusi Ketua Wanita Umno berkata, beliau telah dipaksa untuk menerima pelan peralihan kuasa pergerakan tersebut.

Naib Ketua Wanita itu berkata, Rafidah tidak pernah berbincang dengannya terlebih dahulu ataupun dirundingkan dalam majlis eksekutif Wanita Umno sebelum mahu melaksanakan pelan peralihan.

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan bekas anggota jemaah menteri itu berkata, Rafidah hanya memaklumkan mengenai pelan tersebut kepadanya pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra dan terus memaklumkan terus kepada umum.

"Boleh anda bayangkan apa yang telah berlaku jika saya menolak pelan peralihan di hadapan 700 hingga 800 orang yang hadir termasuk Perdana Menteri (yang juga Presiden Umno)," kata beliau kepada The Star semalam.

Shahrizat juga mengakui beliau hanya bertindak sebagai "yes man" terhadap kepimpinan Rafidah sekian lama.

Kata Shahrizat, sejak memegang jawatan Naib Ketua Wanita beliau tidak pernah menawarkan pandangannya kerana Rafidah merupakan pemimpin yang berpengaruh dan bercakap apa yang beliau rasakan mahu nyatakan.

"Saya melihat diri saya sebagai penyokong (sahaja). Ini untuk mengekalkan kestabilan (dalam Wanita Umno)," katanya sambil menambah, beliau terpaksa mengambil masa yang lama untuk meluahkan pendiriannya sambil memfikirkan kesan ke atas pergerakan tersebut.

"Bagaimanapun sebaik sahaja saya mengambil keputusan, saya tidak akan beralih," kata beliau yang dicalonkan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita.

Semalam Rafidah ketika menyahut pendirian Shahrizat berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan.

Dengan perkembangan terbaru ini pelan peralihan kuasa melibatkan kedua-dua pemimpin tersebut juga musnah.

Semalam, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan yang dipersetujui exco pergerakan itu ditolak dan dipertikaikan selepas tempoh tiga bulan beliau mengumumkannya iaitu pada 4 Ogos lalu.

Kata Rafidah, semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco mahupun pihak luar mempertikaikan keputusannya itu.

"Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan dan akan patuh pada pelan peralihan serta patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.

"Bahkan beliau telah menyatakan bahawa 'kata akan dikota' dan 'my word is my honour' (semuanya telah disiar dalam media)," kata Rafidah. - Mstar

No comments:

Post a Comment