HIDUP penulis lirik lagu terkenal, Seri Bayu kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Ini kerana, pada 1 Disember ini, isteri beliau penyanyi Erema akan memfailkan tuntutan fasakh terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.
Jika tuntutan tersebut diluluskan mahkamah, bererti Bayu akan tinggal sendirian di kediamannya tanpa ditemani isterinya itu lagi.
Menurut Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik, dia tidak akan berganjak dari rumah teres empat bilik yang disewanya di Puncak Jalil, Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu walaupun ditakdirkan bercerai.
Biarpun ada cadangan supaya diaditempatkan di rumah kebajikan atau tinggal dengan saudara-maranya, Namun tetap dengan keputusannya.
“Hidup mati saya sekarang adalah di dalam rumah ini. Saya tidak akan berpindah dari sini biarpun ditakdirkan Erema berjaya menuntut cerai daripada saya.
“Banyak kenangan saya di rumah ini yang sukar dilupakan. Saya juga tidak mahu menyusahkan orang lain.
“Sebab itu saya lebih rela mati di dalam rumah ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Keadaan Bayu semakin uzur apabila sejak empat bulan lalu, dia sukar menggerakkan kedua belah tangan dan kakinya. Malah, penulis lirik lagu Kau Lilin Cintaku nyanyian Francissca Peter dan Cintamu Muzik Di Hatiku (Anita Sarawak) ini juga tidak boleh bertutur dengan jelas.
Bagi menguruskan kehidupan seharian seperti makan, minum, mandi dan sebagainya, dia dibantu Erema.
Sewaktu kunjungan penulis ke rumah penulis lirik berusia 43 tahun ini, apabila sesuatu butiran perkataannya sukar dijelaskan, dia akan menaip menerusi telefon bimbitnya.
Ditanya bagaimana urusan kehidupannya jika ditakdirkan bercerai kelak, Bayu menyerahkannya kepada Allah. “Saya ada beberapa keluarga angkat. Mereka sering datang menjenguk saya pada waktu malam. Lima anak saya dengan bekas isteri saya juga ada datang melawat pada hujung minggu.
“Ada juga yang minta saya tinggal dengan ibu saya, tetapi dia pula sudah berusia 65 tahun dan uzur.
“Selain itu, tiga orang adik-beradik saya yang tinggal di Bangi, Selangor ada juga datang melawat. Mereka semuanya sudah berkeluarga,” ujarnya.
Mujurlah kata Bayu, sehingga kini dia masih menerima bayaran royalti hasil lirik-lirik lagu yang masih disiarkan kepada khalayak.
Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) katanya, masih terus membayar royalti kepadanya setiap tahun.
“Alhamdulillah setakat ini, setiap tahun saya menerima sekitar RM18,000 daripada MACP.
“Duit itulah yang saya guna untuk menyara kehidupan. Selain itu, Persatuan Karyawan Malaysia juga memberi pencen kepada saya RM500 setiap bulan.
“Duit pencen itu saya gunakan untuk membayar sewa rumah ini iaitu RM450 sebulan,” katanya dalam nada terketar-ketar.
Bayu yang bernikah dengan Erema pada 24 Disember 2006 menganggap penyakit yang dideritai dan dugaan rumah tangganya itu sebagai dugaan Allah.
Perjalanan hidup penulis bertubuh kecil ini ibarat mengharap panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari.
Ketika menemu bual Bayu dan pasangannya itu saat diijab kabul di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa, Kuala Lumpur dua tahun lalu, Bayu menyatakan rasa terharu apabila Erema sudi berkahwin dengannya.
Biarpun ketika itu beliau sudah menderita penyakit saraf hingga menyukarkan pergerakannya, tetapi seperti kata pepatah kalau sudah jodoh tidak ke mana.
Namun, saat ini Bayu sekali lagi bakal terpaksa menerima takdir terbaru dalam hidupnya apabila menerima tuntutan cerai daripada Erema.
“Saya reda dengan apa juga takdir yang akan berlaku seterusnya. Saya juga menyerahkannya kepada pihak mahkamah untuk mengadilinya.
“Malam ini (Khamis lalu), saya bersama jiran tetangga saya akan mengadakan solat hajat supaya Tuhan tunjukkan kepada saya kebenaran,” katanya. Biarpun tinggal berdua dengan Erema di rumah tersebut, namun sejak kebelakangan ini Bayu sering tinggal sendirian.
Katanya, pada waktu malam Erema akan keluar bekerja di sebuah kelab malam di Shah Alam, Selangor dan hanya pulang pukul 6 pagi.
“Biasanya Erema akan keluar bekerja pukul 8 malam dan lewat pagi baru balik. Maka, tinggal saya seorang di rumah.
“Saya pula tidak mampu bergerak dan hanya boleh terbaring atas katil atau di kerusi roda ini,” jelasnya.
Katanya, paling menyukarkannya ialah ketika mahu makan, pergi ke tandas ataupun bercakap ekoran penyakit yang dideritainya itu.
Bagi mengisi masa lapangnya seharian suntuk di rumah, Bayu yang turut menghidap penyakit paru-paru berair itu banyak menghabiskan masanya dengan menulis.
Dia kini sedang menyiapkan buku tulisannya berjudul Ratapan Sharlini mengenai kes kehilangan kanak-kanak itu tahun lalu.
Biarpun tidak mampu menggerakkan tangan dan jarinya dengan baik, tetapi itu tidak menghalangnya untuk menulis.
“Saya taip sedikit demi sedikit tulisan saya itu melalui telefon bimbit saya. Pada sebelah malamnya pula adik angkat saya akan memindahkannya menerusi komputer.
“Saya tulis sedikit demi sedikit pada setiap hari sejak dua bulan lalu. Saya jangkakan buku itu akan disiapkan pada hujung tahun ini,” ujarnya.
Dua bulan lalu, Bayu sempat bertemu dengan bapa Sharlini dan diberi kebenaran untuk menulis pengalaman sepanjang kes kehilangan kanak-kanak terbabit.
Nafi dakwaan suami
Sementara itu, Erema yang ditemui di suatu sudut yang lain menafikan dakwaan Bayu mengenai perubahan dirinya.
Sebaliknya, dia bukan sahaja telah banyak bersabar menjaga keperluan seharian Bayu, malah tidak pernah menceritakan masalah rumah tangga mereka kepada wartawan.
“Cerita saya mahu tuntut fasakh ini pun dia (Bayu) yang hebahkan kepada wartawan. Selama ini saya banyak bersabar melayan kerenah dia.
“Bukan setakat dua tahun kami bernikah, tetapi empat tahun sebelum itu pun saya sudah menjaganya,” ceritanya.
Ekoran sudah banyak bersabar dan menderita zahir serta batin, Erema kini sudah tidak mampu lagi untuk menanggung penderitaannya itu.
Tuntutan cerai yang difailkannya baru-baru ini adalah kemuncak kepada cabaran, penderitaan dan kesabaran yang telah ditanggungnya.
“Bayangkanlah selama ini saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai isteri. Contohnya, sebelum pergi kerja saya suapkan makanan ke mulutnya.
“Hinggakan saya sakit di bahagian sendi dan belakang badan kerana sering mengangkatnya untuk mandi, ke tandas dan sebagainya.
“Sudah banyak berkorban namun saya pula dipersalahkan. Itu yang menyebabkan saya kecewa,” katanya.
Sejak beberapa bulan lalu, Erema terpaksa keluar bekerja di sebuah kelab malam di Shah Alam bagi menampung kehidupannya.
Selain terpaksa bekerja, dia juga mengakui sudah tidak sehaluan dalam melayari rumah tangga bersama suaminya itu.
Sehubungan itu kata Erema, hatinya kini sudah tidak mampu lagi untuk bertahan dan tuntutan fasakh adalah jalan penyelesaiannya.
Pada masa sama, Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Mosdad berkata, dia tidak menyesal dengan keputusannya itu kerana ia sudah lama difikirkannya secara mendalam.
“Keputusan ini bukan baru tetapi sudah lama saya pendam. Mungkin sudah sampai masanya saya ambil keputusan ini.
“Sebagai manusia, saya simpati atas penderitaan yang sedang ditanggungnya (Bayu).
“Saya sudah ambil keputusan mulai 1 Disember ini saya tidak mahu tinggal di rumah ini lagi!” ujarnya mengakhiri perbualan kami pada petang itu. - Utusan
No comments:
Post a Comment