29 November 2008

Pertempuran Berterusan Di Hotel Taj Untuk Tumpaskan Pengganas


MUMBAI, 29 Nov (Bernama) -- Pertempuran senjata antara komando India dan anggota militan berterusan di Taj Mahal Palace Hotel, sejak malam tadi hingga awal pagi ini, dalam usaha akhir pasukan keselamatan untuk menumpaskan saki baki anggota pengganas.

Sejak semalam, angota komando berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 30 orang yang ditahan di hotel itu sejak Rabu malam, apabila sekumpulan pengganas melancarkan serangan di bandar ini.

Sejumlah pengganas di hotel Taj terbunuh dalam Operasi Black Tornado itu, manakala sejumlah kecil lagi masih bertempur dengan pasukan keselamatan sejak lebih 50 jam lepas, atau mulai awal pagi Sabtu.

"Ini operasi yang unik," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada pemberita malam tadi.

"Kami telah hantar pasukan NSG yang baru, kami tidak mahu lagi kehilangan nyawa. Operasi ini berjaya dan berdasarkan tembakan yang dilepaskan masih terdapat dua hingga tiga orang pengganas di dalam hotel itu," katanya.

Lebih 40 letupan didengar daripada hotel itu apabila anggota militan yang terdesak melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan berterusan ke arah pasukan komando. Petang semalam, dua wartawan cedera ringan apabila terkena serpihan bom tangan.

Seni bina hotel itu, dengan tangga yang berpusing dan bilik tersembunyi menyukarkan pasukan keselamatan menumpaskan anggota militan, yang jumlahnya antara 20 dan 30 orang ketika mereka menawan hotel itu.

Pasukan keselamatan juga menemui hampir 25 kg bahan letupan RDX di dalam hotel mewah itu.

Letupan dan tembakan berterusan dari beberapa bahagian hotel warisan itu -- yang mempunyai bangunan lama dan baru -- memusnahkan sebahagian hotel yang berusia satu abad itu.

Sementara itu, komando NSG petang semalam membebaskan Oberoi Trident dan Nariman House, yang turut ditawan pengganas sejak Rabu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment