21 November 2008

Sejam diikat penjenayah

AMPANG: Seorang ketua pembantu tadbir bukan saja bernasib malang apabila rumahnya di AU1, Taman Keramat di sini, disamun, malah dia terpaksa menempuh detik menakutkan apabila mata dan mulutnya ditampal pita pelekat, manakala kaki dan tangannya diikat hampir sejam oleh penjenayah.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi semalam itu, mangsa yang berusia 55 tahun bersama tiga ahli keluarga dan pembantu rumah sedang nyenyak tidur sebelum rumah berkenaan dimasuki lima penyamun.

Difahamkan penyamun bersenjatakan pisau itu menceroboh masuk dengan mengumpil pintu pagar dapur sebelum membuka pintu depan rumah.

Akibat kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila barang kemas dianggarkan bernilai hampir RM90,000, kereta Proton Wira, beg tangan, telefon bimbit dan kamera digital dilarikan penyamun terbabit.

Mangsa yang enggan dikenali, berkata ketika kejadian dia tidur bersama dua anak saudara kembar perempuan berusia lima tahun di bilik utama di tingkat atas.

Katanya, dia terjaga dari tidur apabila terdengar jeritan pembantu rumah memanggil namanya berulang kali.

“Dia (pembantu rumah) jerit nama saya supaya buka pintu, kononnya ada hal kecemasan membabitkan ibu saya yang tidur di tingkat bawah.

“Tersentak dengan panggilan itu, saya bergegas membuka pintu bilik sebelum terus diterpa penjenayah terbabit dan menekup mulut saya,” katanya di sini, semalam.

Penyamun terbabit menampal mulut dan mata mangsa sebelum mengikat tangan dan kaki menggunakan kain dalam bilik berkenaan.

Menurutnya, bunyi riuh rendah itu menyebabkan dua anak saudaranya terjaga daripada tidur sebelum menjerit ketakutan menyebabkan penyamun terbabit menampal pita pelekat di mulut mereka dan diarahkan senyap.

“Kumpulan penyamun terbabit kemudian menyelongkar dan menendang pintu dan saya hanya dapat dengar berikutan mata ditutup.

“Penyamun terbabit menggertak supaya memberikan nombor pin kad bank dan bertanya di mana kunci kereta, namun saya tidak menjawab apa-apa,” katanya yang terpaksa mengambil cuti kecemasan berikutan kejadian itu.

Katanya, selepas hampir sejam, dia terdengar suara seorang daripada penyamun terbabit menjerit perkataan ‘budak-budak’ membuatkan hatinya berdebar-debar kerana menyangka mereka mahu menculik kedua anak saudaranya.

“Namun, apabila saya memanggil nama anak saudara, mereka masih menyahut dan memaklumkan semua penyamun terbabit sudah keluar daripada bilik itu

“Beberapa minit kemudian, pembantu rumah dapat melepaskan diri dan membuka ikatan kami semua,” katanya mendakwa kejadian itu kali kedua sejak mendiami rumah tepi itu hampir 26 tahun.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Hulu Kelang berhubung kejadian itu.

Sementara itu, sumber polis berkata, gerakan besar-besaran memburu suspek kini giat dilakukan dan pihaknya yakin penjenayah terbabit berada di sekitar daerah itu. - Hmetro

No comments:

Post a Comment