21 November 2008

BNBBC mahu diskaun tol 24 jam

KELAB Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) mahu diskaun 10 peratus yang diberikan kepada pemandu kenderaan ringan (Kelas 1) menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) diperluaskan sepanjang hari.

Selain itu, mereka juga menuntut supaya kadar diskaun ditingkatkan dan insentif diperluaskan kepada semua jenis pengguna terutama lori kerana ia mampu membantu kerajaan mengurangkan harga barang di pasaran berikutan pengurangan kos pengangkutan.

Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata BNBBC kecewa dengan pengumuman baru-baru ini kerana beranggapan ia langsung tidak memberi kesan bagi memenuhi objektif utamanya iaitu mengurangkan beban pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

"Saya dihubungi pelbagai pihak mengatakan mereka agak kecewa dan menganggap kerajaan tidak ikhlas dalam memberikan insentif... saya juga bersetuju dengan mereka. Apa yang saya nampak, hanya Plus Expressways Berhad (Plus) menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Menteri Kerjaraya (Datuk Mohd Zin Mohamed) dilihat tidak mengambil serius dengan meneliti lebih mendalam permohonan syarikat konsesi itu, sebelum bersetuju dengannya. Saya rasa, kementerian boleh mendapat perjanjian lebih baik," katanya di pejabatnya di Parlimen, semalam. - BHarian

No comments:

Post a Comment