13 November 2008

Profesor balik makan ditetak

PETALING JAYA: Kegembiraan pulang ke ibu negara bertukar menjadi tragedi bagi seorang profesor apabila dia disamun sekumpulan lelaki di Taman Tun Dr Ismail di sini, malam tadi.

Malah, dalam kejadian jam 10 malam itu, kumpulan perompak terbabit turut menetak Prof Rajendran Muthu, 62, bertubi-tubi sebelum melarikan beberapa barangan peribadi milik mangsa.

Ketika kejadian, mangsa yang bertugas sebagai profesor Jabatan Kebajikan Sosial di Universiti Itage, Jepun, selama hampir 11 tahun, dikatakan baru pulang daripada makan malam bersama tiga rakannya.

“Saya menyedari beberapa motosikal ditunggang sekumpulan lelaki melintasi kawasan itu sebaik seorang rakan saya memberhentikan kenderaan yang dipandunya.

“Kumpulan terbabit secara tiba-tiba melakukan pusingan U dan terus menuju ke arah kami yang masih berada di tepi jalan di hadapan rumah saya,” katanya.

Sebaik menghampiri mangsa, kumpulan empat lelaki terbabit mula bertindak ganas dengan memaksa mangsa dan rakannya menyerahkan semua barangan berharga yang dimiliki.

Seorang daripada suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang dan mengugut mangsa serta rakannya agar mendiamkan diri.

Bagi mempertahan diri, mangsa cuba melepaskan diri namun suspek bertindak menetak mangsa berulang kali di kepala.

Mangsa dipercayai cuba menghalang tetakan bertubi-tubi itu menggunakan tangannya sehingga mengakibatkan kecederaan di lengan dan jarinya.

“Segala barangan peribadi saya termasuk jam tangan, dompet yang berisi sejumlah wang tunai dan barangan lain milik dua lagi rakan saya dilarikan penyamun,” katanya.

Mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Pakar Damansara di sini, sebelum membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail. - HMetro

* Tetak sana tetak sini. Hukuman yang tuhan beri untuk manusia adalah penyelesaian terbaik. Sudah tiba masanya tangan pencuri/penyamun 'ditetak'.

No comments:

Post a Comment