13 November 2008

Dua perompak tetak ustaz

IPOH: “Saya terus melarikan diri untuk menyelamatkan diri apabila seorang daripada perompak mahu menetak saya dengan parang,” kata Norazila Mohd Sufian, 30, juruwang stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini, yang disamun empat perompak, semalam.

Katanya, dia tiba jam 6.45 pagi di tempat kerja kerana mahu mengeluarkan wang dipesan ibu di mesin juruwang automatik (ATM) selain menggantikan Mohd Khairuddin Mohamed Isa, 42, yang bekerja syif malam.

Ketika sampai di situ, dia ternampak sebuah Proton Iswara dinaiki empat lelaki berhenti di sebuah pam minyak.

Namun, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka mereka pelanggan biasa yang mengisi minyak.

“Bagaimanapun, tiba-tiba dua daripada lelaki terbabit yang memakai topi keledar keluar dari kereta dan bersenjatakan parang masuk ke dalam kedai lalu menuju ke kaunter pembayaran.

“Saya dengar Mohd Khairuddin yang mesra dengan panggilan ustaz menjerit kesakitan di belakang kaunter pembayaran akibat ditetak di kepala oleh dua lelaki terbabit sehingga berlumuran darah.

“Saya yang terkejut dengan insiden itu tergamam seketika berdekatan mesin ATM dan tanpa diduga seorang daripada perompak terbabit datang ke arah saya,” katanya.

Akibat terlalu takut, Norazila berkata, dia segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri sehingga kad ATM-nya ditelan mesin.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi semalam, Mohd Khairuddin yang juga seorang pembantu tadbir di Jabatan Agama Islam Perak, ditetak sehingga mati oleh perompak terbabit.

Norazlina menyifatkan Mohd Khairuddin yang bekerja sambilan sebagai juruwang di stesen minyak itu seorang yang disenangi semua rakan kerana peramah dan berpekerti mulia.

“Pemergian arwah meninggalkan kesan kepada semua pekerja kerana dia banyak membantu meringankan tugas kami selain tidak pernah merungut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, ketika dihubungi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Dalam kejadian itu, dua daripada empat perompak yang bersenjatakan parang menuju ke kaunter pembayaran lalu terus mengugut mangsa sebelum menetak kepalanya.

“Mereka merampas wang tunai dianggarkan RM1,000 dan melarikan diri dengan sebuah Proton Iswara dipercayai menggunakan nombor plat palsu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Polis sedang mengenal pasti identiti keempat-empat suspek terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - HMetro

No comments:

Post a Comment