12 November 2008

Polis tahan dalang kes bunuh dan rompak lapan kereta mewah

PULAU PINANG 12 Nov. — Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan dan rompakan lapan kereta mewah bernilai kira-kira RM2 juta dengan tertangkapnya seorang lelaki yang dipercayai dalang dalam kejadian itu semalam.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi di sebuah apartment di Sungai Ara di sini hasil risikan polis serta maklumat orang ramai.

Suspek kini dirawat di Hospital Pulau Pinang berikutan melecur di bahagian kaki.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan lelaki itu namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Dalam kejadian pukul 4 pagi Isnin lepas itu, jurujual di kedai itu, Lim Hooi Huah, 41 ditemui mati rentung di premis menjual kereta di Jalan Masjid Negeri di sini manakala lapan kereta mewah bernilai RM2 juta yang diletakkan di situ dilaporkan hilang.

Hasil tindakan pantas dan pemantauan polis, tujuh daripada lapan buah kereta mewah yang hilang itu ditemui semula di beberapa tempat di sekitar bandar ini dalam tempoh kurang dari 24 jam ia dilapor hilang.

Selepas penemuan kereta berkenaan, polis turut menahan dua lelaki termasuk pengawal keselamatan warga Nepal berusia 30-an dan pemilik bengkel berusia 40-an dan kedua-duanya kini direman selama seminggu bermula semalam. - Bernama

* Tahniah polis

No comments:

Post a Comment