12 November 2008

Laman web papar jenazah Imam Samudra ditutup

JAKARTA 11 Nov. - Sebuah laman web yang memaparkan gambar jenazah seorang daripada tiga pengebom Bali terpaksa ditutup hari ini kerana dilawati terlalu ramai pengguna Internet.

Laman web tersebut memaparkan wajah Imam Samudra dengan tubuh yang dibaluti kain kafan di tanah perkuburan Islam sewaktu majlis pengebumian selepas dihukum bunuh oleh skuad penembak.

Ketiga-tiga pengebom tersebut dijatuhi hukuman mati kerana didapati bersalah atas tuduhan serangan bom di Bali yang meragut 202 nyawa pada 2002.

"Laman web Arrahman terpaksa ditutup buat sementara waktu akibat masalah teknikal kerana lebihan beban pelawat yang mahu melihat gambar eksklusif pejuang yang syahid itu," demikian menurut laman web tersebut dalam kenyataan akhbarnya.

Pengendali laman web itu menolak dakwaan bahawa ia sebagai perbuatan penggodam.

Ribuan penyokong dan mereka yang bersimpati dengan pengebom Bali menghadiri upacara pengebumian Imam Samudra, 38, di tanah kelahirannya di Serang, Jawa Barat pada Ahad lalu.

Pengebumian dua lagi pengebom Bali iaitu Amrozi, 47, dan Mukhlas, 48, di kampung mereka di Jawa Timur juga dihadiri ratusan penyokong mereka.

Gambar tersebut disiarkan dengan kebenaran keluarga Imam Samudra supaya umat Islam dapat menyaksikan sendiri 'kesyahidan' pemimpin kanan Jemaah Islamiah itu. - Utusan

No comments:

Post a Comment