KUALA LUMPUR, 11 Nov (Hrkh) - Jika PAS tidak menerima perlantikan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ia tidak sama dengan penolakan Umno, kata Ahli Jawatankuasa Politik PAS, Khalid Abdul Samad.
Ketika Umno menolak Low kerana beliau berbangsa Cina, PAS menolak kerana kaitan Pemangku Pengurus Besar PKNS dengan "rejim lama", kata beliau dalam jawapannya kepada artikel di dalam Malaysiakini bertajuk 'We cannot trust PAS'.
"Memadai untuk dinyatakan bahawa Low bukanlah calon yang sepatutnya. Beliau adalah sebahagian dari pengurusan lama dan harus bertanggungjawab atas tindakan-tindakannya.
"Beliau boleh mendakwa telah dipaksa tetapi sekurang-kurangnya seorang pengurus telah membuktikan beliau berani mempertahankan pendiriannya dan kontraknya ditamatkan.
"Beliau tidak perlu tunduk kerana takut nyawanya terancam atau menghadapi kemiskinan," kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Khalid mengulangi penegasan bahawa dakwaan kononnya PAS mengakui kemampuan Pemangku Pengurus PKNS itu dan menolaknya kerana sebab-sebab perkauman adalah tidak benar.
"Kita tidak seharusnya mengizinkan diri kita dipengaruhi oleh media-media Barisan Nasional (BN). Hatta (Datuk Seri) Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri menyatakan tidak ada sebab mengaap seorang bukan Melayu tidak boleh menjadi pengurus PKNS jika beliau layak dan boleh dipercayai," katanya.
Kepada Khalid, jika orang-orang bukan Melayu menyokong Low kerana beliau bukan Melayu, ia juga boleh dianggap didorong oleh pertimbangan perkauman.
Beliau mendedahkan, desakan-desakan supaya ditamatkan perkhidmatan Low dan bekas Pengurus Besar PKNS Datuk Harun Salim telah diterima sejak bulan April lagi.
Jawapan penuh Khalid boleh dibaca dalam posting bertajuk "�We cannot trust PAS� on Malaysiakini" dalam blognya, www.khalidsamad.com. - Harakahdaily
No comments:
Post a Comment