PUTRAJAYA 10 Nov. - Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk bukan Islam diberi amaran agar tidak mencabar kewibawaan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana ia membabitkan hukum berda sarkan sumber nas al-Quran, Sunah, Ijmak dan Qias.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, golongan itu perlu menghormati fatwa tanpa bersikap semberono mempertikaikan sesuatu hukum berasaskan logik akal semata-mata untuk kepentingan liberalisme bagi kelompok tertentu.
''Mereka yang tidak tahu tentang hukum Islam jangan sentuh empat sumber hukum itu kerana kita tidak mahu kredibiliti fatwa dicabar.
''Ini kerana ahli-ahli majlis fatwa dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan mereka diberikan kuasa untuk memberikan garis panduan kepada umat Islam terhadap se suatu yang tidak ada hukum," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri rakaman program Infaq, satu rancangan televisyen terbitan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas laporan sebuah portal berita Jumaat lalu mengenai tindakan NGO bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs berdemonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan perlakuan 'penkid' atau wanita menyerupai lelaki baru-baru ini.
Portal berita itu juga menyiarkan temu bual dengan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah mempersoalkan fatwa tersebut yang disifatkan cuba mengongkong cara hidup seseorang termasuk dalam soal berpakaian.
Ia kononnya dikhuatiri menyebabkan negara ditertawakan oleh negara luar.
Menurut Ahmad Zahid, setiap fatwa yang dikeluarkan mempunyai latar belakangnya sebagaimana isu 'penkid', ia berasaskan aduan yang diterima oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai masalah tersebut.
''Kalau isteri lari ikut lelaki lain, kita ada undang-undang tetapi kalau isteri lari ikut perempuan lain, ini tidak ada undang-un dang.
''Jadi setakat ini fatwa penkid dikeluar kan untuk panduan umat Islam dan hukum seseorang perempuan tidak boleh menyerupai lelaki sudah ada hukumnya. Ini bukan kita hendak mengasingkan golongan wanita," katanya.
Beliau berkata, Wilayah Persekutuan akan mewartakan fatwa pengharaman penkid secepat mungkin manakala negeri-negeri di bawah bidang kuasa Majlis Fatwa negeri.
Jelas beliau, sekiranya NGO tersebut mahu mengetahui perincian latar belakang fatwa, pihaknya bersedia menganjurkan pertemuan dengan ahli-ahli majlis fatwa supaya mereka mendapat penjelasan dan berdialog bagi merungkai perkara itu. - Utusan
No comments:
Post a Comment