13 November 2008

Norlia Restu Rusdi Menikahi Sharon Paul

KUALA LUMPUR, 11 NOV 2008: Berita aktor filem Waris Jari Hantu, Rusdi Ramli, 37, akan bernikah dan bersanding dengan komposer Sharon Paul Abdullah pada Ahad ini telah disambut dengan hati yang yang cukup gembira oleh ibunya, Norlia Ghani.

"Sudah lama sangat dia membujang. Akhirnya dia jumpa wanita pilihan yang sesuai dengannya. Alhamdulillah... sebagai ibu saya tumpang gembira sekiranya perkahwinannya itu berjaya membuatkan dia gembira.

"Sebelum ini saya memang pernah mengharapkan supaya dia menamatkan zaman bujangnya atau lekas-lekas berkahwin. Tapi, Boy (panggilan untuk Rusdi), jenis yang senyap serta tidak banyak cakap.

"Dia juga tidak pernah buka mulut untuk berkahwin sebelum ini. Jadi, apabila kali ini dia cakap dia hendak kahwin, saya rasa gembira sangat," kata Norlia kepada murai.com.my.

Menurut Norlia lagi, dia bagaimanapun tidak terkejut apabila Rusdi menyuarakan hasrat hatinya untuk memperisterikan Sharon.

"Sebelum ini, dia sudah pun perkenalkan Sharon kepada saya. Waktu itu, saya sedang raikan hari ulang tahun kelahiran cucu saya, Arisya. Tapi, tidak pulak dia kata Sharon itu teman wanitanya.

"Tapi, sebagai orang tua, kita dapat rasa Sharon cukup istimewa di hatinya. Sebab sebelum ini, dia tidak pernah bawa mana-mana perempuan datang jumpa dengan saya.

"Jadi, bila dia kata hendak kahwin dengan Sharon, perkara itu bukan sesuatu yang memeranjatkan. Lagipun Sharon bagi saya seorang wanita yang cukup baik," katanya.

Majlis pernikahan serta persandingan Rusdi dan Sharon akan diadakan di sebuah banglo di Shah Alam pada Ahad ini dan hanya keluarga serta rakan terdekat saja yang telah dijemput untuk menghadirinya.

"Kalau hendak diikutkan hati, memang saya mahu panggil ramai kawan-kawan untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka tapi, apakan daya kerana undanganya hanya terhad untuk 26 meja sahaja.

"Saya memang tak puas hati tapi memandangkan semuanya telah diaturkan sendiri oleh Boy, jadi terserahlah pada dia untuk buat apa yang dia mahu. Saya pula hanya datang pasang badan saja," kata Norlia yang baru saja menyiapkan sebuah drama untuk tayangan hari raya Aidiladha, Jangan Tinggal Daku.

Norlia juga mengakui bahawa tidak kisah siapa pun pilihan Rusdi.

"Saya bukanlah seorang ibu yang suka menentukan wanita pilihan mana yang sesuai atau bagus untuk anak saya. Itu sudah jodoh dia, saya terima. Tidak kiralah dia bangsa apapun, janji dia seorang Islam.

"Kebetulan Sharon yang saya ketahui berbangsa Cina sudah pun memeluk Islam sebelum dia mengenali Rusdi dulu," katanya lagi.

Rusdi yang juga Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 berkata, selama ini dia sering menganggap bahawa dirinya akan hidup membujang hingga ke akhir hayat.

"Tapi, mungkin inilah yang dikatakan sebagai takdir dan jodoh," katanya yang sudah menduda selama 15 tahun.

Sungguhpun begitu, Rusdi mengakui bahawa dia dan Sharon mula serius memikirkan soal berumahtangga selepas setahun menjalinkan hubungan.

"Susah untuk saya jelaskan mengapa tiba-tiba saya bersedia untuk berumahtangga sekali lagi serta memilih Sharon sebagai calon isteri. Bagi saya Sharon sangat memahami saya seadanya," katanya yang mengakui bertemu kali pertama dengan Sharon sewaktu menjayakan filem Pontianak Harum Sundal Malam 2.

Bercakap tentang majlis perkahwinannya nanti, Rusdi berkata, majlis pernikahan akan diadakan secara ringkas dan cuma membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Tiada wang hantaran diberikan kepada pihak perempuan kecuali mas kahwin dan senaskhah Al-Quran, " katanya. - Murai

No comments:

Post a Comment