KUALA LUMPUR: Elaun guru sekolah rendah agama (SRA) dan kelas asas fardu ain (Kafa) di Wilayah Persekutuan dinaikkan mulai 1 Januari depan, selepas 22 tahun tidak memperoleh sebarang insentif kenaikan.
Ketika mengumumkannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kenaikan kadar elaun itu diberikan untuk menghargai jasa guru berkenaan, setimpal dengan usaha dilakukan dalam memperjuangkan agama.
Menurutnya, elaun RM500 yang diperoleh selama ini tidak mencukupi malah membebankan mereka yang terpaksa menyara keluarga.
“Kenaikan elaun kepada RM1,000 hingga RM1,200 itu amatlah bersesuaian dengan keadaan ekonomi tidak menentu kini.
“Pastinya ia melegakan semua guru tadika terbabit malah dapat membantu sedikit sebanyak dalam perbelanjaan harian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ihtifal Perdana serta Konvokesyen Tadika Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.
Malah, kata Ahmad Zahid, dengan perolehan kutipan zakat mencecah RM200 juta setahun di Wilayah Persekutuan saja, memang munasabah jika guru berkenaan mendapat kenaikan elaun itu.
Pada masa sama, beliau juga menyeru majlis agama seluruh negara mencontohi MAIWP dengan menaikkan elaun guru tadika di bawah kelolaan masing-masing.
Sementara itu, katanya, MAIWP juga akan menaik taraf semua kemudahan tadika Islam sedia ada untuk memberikan lebih keselesaan kepada pelajar.
“Semua kelas tadika Islam yang daif akan diperbaiki dan dilengkapi kemudahan baru secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis konvokesyen berkenaan.
Seramai 2,900 daripada 5,662 murid pusat tadika Islam di lima zon sekitar Wilayah Persekutuan menerima sijil tamat pengajian pada majlis konvokesyen berkenaan.
Pelbagai aktiviti diadakan untuk memeriahkan majlis itu, antaranya hafazan, nasyid, deklamasi sajak serta pertandingan mewarna.
Hadir sama, Pengarah Jawi merangkap Setiausaha MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan Che Mohd. - HMetro
* Terima kasih Zahid Hamidi
No comments:
Post a Comment