09 November 2008

Nekad lawan pencuri kereta

PETALING JAYA: Tanpa memikirkan risiko nyawanya mungkin melayang, seorang pemuda nekad melawan penjenayah yang cuba melarikan Proton Waja miliknya dalam kejadian di Flora Damansara, awal pagi semalam.

Kejadian jam 3 pagi itu bermula sejurus pemuda terbabit meninggalkan keretanya sebelum memasuki sebuah kedai serbaneka 24 jam di sini.

Malah, pemuda berusia 30-an itu turut cedera di kepala akibat ditetak bertubi-tubi penjenayah terbabit menggunakan senjata tajam.

Panik dengan keberanian pemuda terbabit yang melawan, kedua-dua suspek itu meninggalkan kereta dan melarikan diri.
Menurut sumber polis, dua penjenayah terbabit dipercayai berada berhampiran lokasi itu dan mula bertindak sebaik menyedari mangsa keluar meninggalkan keretanya.“Mangsa yang berada di kedai itu kemudian menyedari keretanya bergerak dan bergegas keluar,” katanya.

Mangsa terus keluar dan berlari mengejar suspek yang mula memandu keretanya itu sebelum masuk ke dalam kereta itu.

Suspek yang panik tidak sempat melakukan pusingan ‘U’ dan terus melarikan kenderaan itu menghala ke dalam kawasan perumahan itu.

Pada masa sama, mangsa terus bergelut dengan suspek dan seorang daripada suspek mengeluarkan objek tajam lalu menetak mangsa bertubi-tubi.

“Mangsa cedera agak serius di kepala, malah baju yang dipakai mangsa dibasahi darah.

“Suspek melarikan diri dengan meninggalkan kereta yang cuba dirampas itu dan orang awam yang berada di lokasi berhampiran membantu mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Orang awam membantu mengesan penyamun terbabit, namun tidak berhasil sebelum mangsa dibawa ke sebuah pusat perubatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis. Hmetro

No comments:

Post a Comment