BANTING: Enam penjenayah termasuk sepasang suami isteri mengambil masa hanya tiga setengah jam untuk melakukan lima samun dari daerah Batu Caves hingga ke Banting sebelum tumpas, kelmarin.
Apa yang menarik mengenai kumpulan itu ialah ketua kumpulannya menjadikan isterinya yang juga ahli dalam kumpulan berkenaan sebagai umpan untuk merisik mangsa yang bakal dijadikan sasaran samun.
Bagaimanapun, kegiatan kumpulan yang terbabit dalam sekurang-kurangnya 15 kes samun bersenjata serta satu rogol itu berakhir selepas orang awam memaklumkan kepada polis sejurus mereka meragut seorang wanita berhampiran Hospital Banting di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak berkata enam ahli kumpulan itu ditahan berhampiran Rumah Rehat Persekutuan Batu Laut, Tanjung Sepat selepas cuba melarikan diri daripada polis.
“Penjenayah meragut seorang wanita sebelum polis dimaklumkan oleh orang awam. Pasukan peronda kemudian memburu suspek dan mengesan sebuah Proton Iswara di sekitar Sungai Jarum.
“Mereka yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, tetapi dapat dikejar. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan amaran selepas suspek enggan berhenti dan akhirnya mereka ditahan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, semalam.
Seorang anggota polis pula cedera ringan ketika keluar dari kereta peronda untuk menahan penjenayah terbabit.
Siasatan awal mendapati suspek melakukan lima jenayah samun bermula jam 3.30 pagi sebelum ditumpaskan dan seorang daripada mereka berada dalam senarai dikehendaki polis.
“Enam suspek itu berumur antara 17 dan 25 tahun dan dipercayai terbabit dengan kes melarikan kenderaan di sekitar Pandan Indah, Kuala Lumpur, rogol di Seri Kembangan, samun klinik di Batu Caves dan curi kereta di Desa Jaya, Gombak,” katanya.
Menurut Mohamad Radzi, apabila siasatan pihaknya selesai, suspek mungkin disiasat IPD lain memandangkan mereka juga dipercayai terbabit dalam beberapa siri jenayah di Gombak, Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan.
Polis turut merampas tiga kereta selain beberapa barangan termasuk wang tunai RM2,700 dipercayai hasil samun kumpulan terbabit.
“Polis juga mendapati dua daripada kereta yang dirampas iaitu Iswara bernombor pendaftaran NAK 8650 dan Proton Wira (WJN 8572) dipercayai baru dilarikan kumpulan itu di Medan Batu Caves dan Desa Jaya beberapa jam sebelum mereka diberkas.
“Iswara itu digunakan mereka ketika melarikan diri daripada polis. Sebuah lagi kereta dirampas ialah Honda City bernombor pendaftaran WGD 1671,” katanya.
Polis turut merampas telefon bimbit pelbagai jenama, dompet, 16 kartun rokok serta sejumlah barangan kemas. -HMetro
No comments:
Post a Comment