11 November 2008

Lelaki dikaitkan kes rompak RM3.19j ditahan semula ikut ordinan darurat

SUNGAI PETANI 11 Nov. — Seorang lelaki yang dikaitkan dengan kes rompakan wang tunai RM3.19 juta dari sebuah van keselamatan di Gurun dekat sini Februari lepas ditahan semula sebaik dibebaskan selepas tempoh tahanan reman 14 hari terhadapnya tamat, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata suspek ditahan semula mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 untuk siasatan lanjut dan boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa dibawa ke mahkamah.

Keputusan pembebasan tanpa syarat ke atas lelaki berumur 56 tahun itu dibuat oleh Majistret Noor Farah Azwani Osman atas permintaan polis.

Suspek hanya dapat menikmati beberapa minit sahaja pembebasannya apabila ditahan semula oleh sekumpulan polis sebaik melangkah keluar dari pintu Mahkamah Majistret Sungai Petani kira-kira 9.45 pagi ini.

Polis meningkatkan kawalan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga sebaik suspek itu tiba di Mahkamah Sungai Petani berikutan ramai anggota keluarga dan kenalannya yang menunggu lelaki itu yang dibawa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Star, sejak 8.30 pagi.

Lelaki yang menjadi buruan polis selama lapan bulan itu ditahan semasa berada di dalam sebuah bas ekspres yang menuju Kuala Lumpur di Sungai Petani pada 28 Oktober lepas.

Polis menemui wang tunai RM10,000 dan mata wang Indonesia sebanyak 30 juta Rupiah bersama lelaki itu semasa dia ditahan.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment