PUTRAJAYA 11 Nov. — Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menetapkan paras minimum bagi harga runcit petrol dan diesel di pasaran tempatan, walaupun harga minyak mentah di pasaran dunia masih menunjukkan trend penurunan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, melalui cara tersebut, kerajaan mungkin dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi dan seterusnya membolehkan wang tersebut digunakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, jangkaan perbelanjaan bagi pemberian rebat minyak yang dijangka mencecah RM5 bilion, dan subsidi 30 sen bagi setiap liter petrol yang dijangka berjumlah RM18 bilion, merupakan beban yang besar untuk negara.
“(Keputusan) itu terpulang pada mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang diadakan setiap minggu dan kita akan bincangkan dari segi asasnya di mana kita akan berhenti (untuk menurunkan harga),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenainya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Shahrir enggan mengulas bila paras minimum itu akan dilaksanakan dan berapa harga yang akan ditetapkan. - Utusan
No comments:
Post a Comment