19 November 2008

Ka Chuan serah surat letak jawatan menteri kepada Presiden MCA

KUALA LUMPUR 19 Nov. — Datuk Seri Ong Ka Chuan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, kata seorang pembantu kepada Ka Chuan hari ini.

Sumber itu berkata, Ka Chuan menyerahkan “surat peletakan jawatan tanpa tarikh” ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti pada 18 Oktober.

Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

“Ya, beliau (Ka Chuan) ada menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Datuk Seri Ong (Tee Keat). Itu saja yang boleh saya katakan,” kata pembantu itu kepada Bernama sebelum menamatkan perbualan.

Tidak dapat dipastikan sama ada Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana, mengikut prosedur, seseorang menteri perlu mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.

Abdullah sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Uzbekistan dan Turkmenistan.

Sumber parti memberitahu Bernama bahawa Ka Chuan memutuskan untuk menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Tee Keat terlebih dahulu untuk membolehkan presiden parti mencadangkan pengganti bagi jawatan dalam Kabinet di samping jawatan lain.

Dalam pemilihan MCA, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung kalah dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden manakala Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Teng Boon Soon gagal mendapat tempat dalam jawatankuasa pusat.

Ka Chuan berlepas ke Tehran pada Isnin lepas untuk melakukan lawatan rasmi selama seminggu dan dijangka pulang ke Malaysia hujung minggu ini. Panggilan ke telefon bimbitnya tidak dijawab.

Difahamkan Tee Keat belum mengambil apa-apa tindakan berhubung surat peletakan jawatan Ka Chuan, termasuk memaklumkan Perdana Menteri mengenainya.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu hari ini, Tee Keat tidak mengesahkan mahupun menafikan bahawa Ka Chuan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Beliau sekadar berkata: “Saya masih belum mengemukakan apa-apa senarai kepada Perdana Menteri.”

Jawatan Ka Chuan sebagai Pengerusi MCA Perak digantikan oleh Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha yang disebut-sebut akan dicadangkan untuk menjawat jawatan menteri.

Ka Chuan berkhidmat sebagai menteri kira-kira tujuh bulan sebelum kekalahannya kepada Soi Lek bulan lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment