18 November 2008

JHEAT bincang tangkap Ayah Pin

KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) belum membuat keputusan sama ada menangkap Ayah Pin (gambar) di negara jiran atau menunggunya pulang ke negeri ini untuk tindakan tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya JHEAT, Omar Musa memberitahu, perkara tersebut hanya akan diputuskan dalam mesyuarat bersama pihak polis pada minggu ini.

"Semuanya bergantung kepada perbincangan itu nanti," katanya yang enggan memberitahu bila tarikh sebenar mesyuarat itu akan diadakan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ia susulan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ingin mendapatkan penjelasan JHEAT yang dikatakan tidak membenarkan polis menahan Ayah Pin ketika pulang ke negara ini dari Selatan Thailand baru-baru ini.

Arahan itu kemudiannya membawa kepada kesediaan JHEAT untuk berbincang sebelum memutuskan tindakan selanjutnya terhadap ketua ajaran sesat itu atau nama sebenarnya, Ariffin Muhamad, 68.

Sebelum ini, Ayah Pin dipercayai melarikan diri ke Selatan Thailand selepas perkampungan 'Kerajaan Langit' di Batu 13, Hulu Besut dimusnahkan pada tahun 2005 dan dikatakan pulang sekali-sekala ke kampung tersebut.

No comments:

Post a Comment