KUCHING 17 Nov. - Kurang 24 jam kejayaan polis menembak mati empat perompak di Seremban, empat lagi penjenayah rakyat asing ditembak mati di kawasan kediaman Batu 23 Jalan Bintulu-Miri dekat sini pagi ini.Dalam kejadian pada pukul 2.20 pagi, empat lelaki berusia 25 hingga 35 tahun itu dipercayai merancang melakukan rompakan di kawasan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Senior Asisten Komisioner (SAC) II, Huzir Mohamed berkata, ketika kejadian, sepasukan anggota polis yang sedang memantau di kawasan perumahan tersebut dan terserempak dengan sekumpulan lelaki yang mencurigakan.
"Ketika menghampiri kumpulan lelaki tersebut dan meminta mereka memperkenalkan diri, tiba-tiba seorang daripada penjenayah melepaskan satu das tembakan, seorang lagi mengacukan pistol manakala dua lagi penjenayah itu cuba menyerang polis dengan menggunakan dua bilah parang.
"Polis terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan 14 das tembakan ke arah kumpulan penjenayah tersebut yang mengakibatkan keempat-empat mereka terbunuh di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Huzir berkata, hasil pemeriksaan ke atas penjenayah, polis menemui dua pucuk pistol revolver buatan sendiri, lapan butir peluru hidup, tiga kelongsong peluru, dua pemutar skru, dua bilah parang, satu tuil besi dan satu alat pemotong besi.
Jelas beliau, selain itu, polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri daripada keempat-empat penjenayah itu.
"Kita percaya, empat lelaki ini terlibat aktif dalam pelbagai kegiatan jenayah iaitu 19 kes di daerah Bintulu termasuk satu kes samun pemilik kantin di Estet Perindustrian Kemena pada 3 November lalu," ujarnya.
Beliau berkata, polis kini giat mencari saki-baki ahli kumpulan itu yang masih bebas dan dipercayai masih berada di Sarawak.
Beliau menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh
Dalam pada itu, Huzir memberitahu, sepasukan polis melakukan rondaan di kawasan tersebut telah menerima laporan bahawa kerap berlaku kegiatan jenayah di situ.
Katanya, pernah terjadi kes tiga ekor anjing tuan rumah di situ diberi racun dan ada juga pagar dipotong bagi membolehkan perompak terlibat masuk ke rumah untuk melarikan barangan berharga di dalamnya.
Huzir berkata, lanjutan polis meningkatkan kawalan dan membuahkan hasil empat suspek berjaya dikesan hingga menyebabkan mereka ditembak mati. - Utusan
* Dari hidup menyusahkan orang lain
No comments:
Post a Comment