23 November 2008

Jemaah Haji Sibuk Buat Tempahan Haiwan Untuk Ibadah Korban

Daripada Zulkefli Salleh MEKAH, 23 Nov (Bernama) -- Tinggal dua minggu lagi ke hari Wukuf di Arafah dan jemaah haji Malaysia di sini kini sibuk membuat tempahan haiwan bagi ibadah korban sempena ibadah Haji dan Hari Raya Korban.

Urusan itu dipermudahkan bagi mereka menerusi tempahan dengan Tabung Haji Malaysia (TH) yang menguruskan tempahan untuk 5,000 haiwan korban untuk jemaah haji negara.

Pengarah Operasi Kewangan TH di sini, Adi Azuan Abdul Ghani berkata kaunter tempahan haiwan korban telah mula dibuka dan permintaan sangat tinggi daripada jemaah.

"Bagaimanapun, kita hanya dapat menguruskan 5,000 ekor sahaja dan mengehadkan maksimum dua ekor sahaja bagi setiap jemaah," katanya kepada wartawan Malaysia, di sini.

Jemaah haji boleh membuat tempatan itu di kaunter perkhidmatan keluar masuk wang di hotel penginapan mereka yang juga menyediakan khidmat pembayaran "dam" atau denda berkaitan dengan ibadah haji.

Beliau berkata pengeluaran wang melibatkan jutaan ringgit kerana jemaah tidak digalakkan membawa bersama wang tunai terlalu banyak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment