KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam menjelaskan penutupan pondok polis yang terletak di Lorong Haji Taib di sini bukan kerana faktor keselamatan.
Beliau berkata pondok polis berkenaan ditutup selepas pemilik bangunan membuat keputusan untuk mengambil semula tanah di mana pondok polis terbabit dibina.
“Saya ingin menegaskan di sini jawapan bertulis yang dibuat oleh saya di Parlimen pada 16 Oktober lepas mengenai penutupan pondok polis terbabit adalah kurang tepat dan jelas.
“Sebenarnya tuan punya tanah hendak membina bangunan baru maka pondok polis ini terpaksa ditutup, tetapi kawasan ini masih ada Balai Polis Chow Kit dengan kekuatan 10 anggota dan empat kereta peronda dan rondaan 24 jam diadakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Polis Chow Kit dan kawasan sekitar di sini, semalam.
Pada 16 Oktober lalu, Syed Hamid dalam jawapan bertulisnya kepada anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohamad Ghazali berkata, pondok polis di Lorong Haji Taib terpaksa ditutup kerana polis mendapati lokasi tersebut tidak lagi sesuai atau selamat bagi anggota polis yang bertugas.
Katanya, persekitaran kawasan yang kotor, kemungkinan terdedah kepada penyakit berjangkit serta ancaman penjenayah membahayakan keselamatan anggota bertugas.
Sementara itu, Syed Hamid berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju memperuntukkan tanah untuk membina pondok polis yang baru dan perbincangan masih dijalankan berhubung perkara itu.
Beliau juga berkata, Balai Polis Chow Kit yang sedia ada dapat mengurangkan kadar jenayah di sekitar kawasan terbabit dan kedudukannya strategik dengan balai polis utama yang lain di sekitar ibu negara.
“Pemantauan dan rondaan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa dan orang ramai perlu bekerjasama dengan polis. Chow Kit bukan ‘black area’ seperti yang digambarkan,” katanya.
Berhubung pemilikan senjata api secara haram yang berleluasa di negara ini, Syed Hamid berkata kerajaan sentiasa mengadakan kerjasama dengan negara jiran bagi menghalang penyeludupan senjata api ke negara ini. - Bernama
* 10 polis jaga Chow Kit. Mana cukup...
No comments:
Post a Comment