13 November 2008

Balu ustaz mangsa bunuh mahu semuka penjenayah

IPOH: Balu kepada mangsa rompak dan bunuh, Mohd Khairuddin Mohamed Isa, 42, di stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini, awal pagi kelmarin, mahu polis segera menahan penjenayah terbabit kerana ingin bersemuka dengan mereka.

Narjes Moktar, 38, mahu penjenayah terbabit mengetahui penderitaan yang terpaksa ditanggung beliau sekeluarga selepas kehilangan suami tempat bergantung hidup.

Narjes kini bersendirian untuk membesarkan enam anak mereka yang berusia lima bulan hingga 14 tahun.

"Saya mahu mereka (penjenayah) terbabit segera ditahan dan saya mahu bersemuka dengan mereka dan meluahkan penderitaan yang saya sekeluarga hadapi.

"Saya tidak sangka suami saya akan pergi buat selama-lamanya dalam keadaan yang sangat tragis dan memilukan," katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini, semalam.

Beliau yang mengajar di Tadika Sedas, Lorong Hillview, Jalan Ampang dekat sini dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) An Nuriah, Taman Meru 2B, Jelapang mendapat tahu berhubung kejadian itu melalui pengetua tadika tempat dia bertugas.

"Lazimnya, saya akan tunggu suami pulang bekerja dari stesen minyak sebelum pergi ke tempat kerja namun pada hari kejadian (kelmarin), saya ke tempat kerja agak lewat.

"Sebaik tiba di tadika kira-kira jam 8 pagi, pengetua memberitahu suami saya dimasukkan di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kerana cedera akibat terbabit dalam rompakan," katanya.

Narjes berkata, arwah suaminya itu baru empat hari bekerja di stesen minyak berkenaan dan dia seorang yang rajin bekerja, manakala setiap Jumaat hingga Ahad ke Bangi untuk menghadiri kuliah kerana mengikuti pengajian peringkat Ijazah Syariah Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Arwah suami tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, malahan dia sangat peramah dan sikapnya disenangi rakan-rakannya. Selain itu, arwah juga dilantik sebagai Pengerusi Masjid Meru Raya di sini," katanya.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi kelmarin, mangsa seorang pembantu tadbir di Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) ditetak sehingga mati oleh empat perompak bersenjatakan parang yang melarikan wang tunai hampir RM1,000 dari stesen minyak berkenaan.

Mohd Khairuddin yang bekerja sambilan sebagai juruwang di stesen minyak itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

Anak sulung mangsa, Zaidatul Akmal Mohd Khairuddin, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Raja Perempuan Taayah berkata, dia hanya mengetahui berita kematian bapanya selepas dimaklumkan gurunya jam 12 tengah hari kelmarin.

"Pada mulanya, saya nampak bapa saudara berjumpa dengan guru kelas kira-kira jam 9 pagi kemudian dia terus pergi tanpa meninggalkan pesan.

"Hati saya mula mengesyaki ada sesuatu perkara berlaku ke atas keluarga namun fikiran saya lebih tertumpu kepada peperiksaan yang sedang diduduki pada ketika itu,” katanya. - Bharian

1 comment: