08 October 2008

Tertikam parang sendiri ~ HMetro

IPOH: “Tolong...minta air, saya dahaga.” Itulah kata-kata terakhir seorang penyamun sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas niat jahatnya merompak dua beradik di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Harmoni, dekat sini, malam kelmarin gagal.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, parang yang digunakan suspek berusia 39 tahun untuk mengugut dua wanita berusia 45 dan 55 tahun yang baru tiba di rumah mereka selepas berniaga di sebuah restoran, dekat sini, memakan dirinya.

Ia berlaku apabila dua beradik itu nekad melawan biarpun lelaki itu mengacukan parang ke leher seorang daripada mangsa dan mengugut mereka menyerah wang tunai dan barang berharga.

Pergelutan penjenayah dengan kedua-dua wanita itu berakhir apabila dia cedera parah akibat tertikam parangnya sendiri hingga luka di leher, kepala, tangan dan perut.

Penyamun itu cuba melarikan diri sebelum rebah di hadapan sebuah rumah kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dan mati 20 minit kemudian.


Penghuni rumah terbabit, Ong Soon Guan, 38, berkata isteri mengejutkannya dari tidur berikutan terdengar bunyi bising berhampiran rumah mereka.

“Saya turun ke tingkat bawah dan meninjau keadaan di luar melalui tingkap dan terkejut apabila melihat seorang lelaki sedang berlari dalam keadaan terhoyong-hayang ke arah rumah kami sebelum memecahkan cermin depan van saya yang diletakkan di luar rumah.

“Lelaki itu rebah di luar pagar, betul-betul di bahagian tengah antara rumah saya dengan jiran sebelah dan menggelupur kesakitan dalam keadaan berlumuran darah,” katanya, semalam.

Dalam berlumuran darah, dia masih mampu bercakap dan menggoncang pagar rumah Ong meminta air sambil menjerit meminta tolong.

“Saya dan jiran tidak berani membuka pagar kerana ada jiran lain memberitahu lelaki itu perompak dan mengalami kecederaan akibat ditetak mangsanya,” katanya.

Mengulas kejadian itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Idris Abdullah, berkata kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa baru tiba di rumah apabila seorang lelaki bersenjatakan sebilah parang tiba-tiba muncul dan menyerang mereka.

“Suspek mengacukan parang dan mengugut mangsa supaya menyerahkan wang tunai. Bagaimanapun, kedua-dua beradik itu bertindak nekad dengan melawan suspek lalu berlaku pergelutan.

“Pergelutan itu berakhir apabila suspek mengalami kecederaan di perut dan tangan, manakala seorang daripada mangsa cedera di tangan,” katanya.

* Mati ketika sedang merompak?

No comments:

Post a Comment