KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe perlu membuat penjelasan berhubung kenyataannya yang menyentuh mengenai perkara sensitif berkaitan isu perkauman.
Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata penjelasan itu perlu supaya tidak timbul isu salah tafsir kenyataan beliau ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan ke-21 Jumaat lalu.
"Ada baiknya diberi peluang kepada beliau untuk menerangkan sebenarnya apakah yang dimaksudkan dan biar semua kita faham dan tidak ada sebarang kekaburan mengenai apa yang dia kata itu," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Semangat Merdeka 2008 dan merasmikan Akademi Kenegaraan di Biro Tata Negara di Jalan Bellamy di sini.
Abdullah berkata pada ketika ini sesiapa pun tidak boleh memperkatakan tindakan yang akan diambil terhadap Tan sebelum perkara sebenar diketahui.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tan yang memberi peringatan supaya semua pihak tidak melupakan sejarah silam selain menyamakan asal-usul setiap kaum di negara ini.
Tan yang juga Timbalan Menteri Penerangan juga dikatakan mempertikai status orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini dalam sebuah rancangan terbitan sebuah stesen televisyen berbayar baru-baru ini.
"Saya juga mengingatkan janganlah mainkan sentimen perkauman hanya untuk tegakkan kekuatan kita, populariti kita.
Sudah sampainya untuk kita selepas 50 tahun merdeka, memberhentikan daripada pendekatan guna isu-isu perkauman untuk mencari keuntungan politik," kata Abdullah.
Malah, Perdana Menteri terus menasihati ahli politik tidak menggunakan pendekatan yang menimbulkan isu perkauman, seterusnya menyebabkan ketegangan dalam hubungan sesama kaum.
Mengenai kontroversi pembelian Eurocopter untuk menggantikan pesawat Nuri oleh Kementerian Pertahanan, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau perlu mendapatkan penjelasan daripada Ketua Setiausaha kementerian itu sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya bagi mengelak sebarang kekeliruan.
Awal bulan ini, pengerusi Mentari Services Sdn Bhd Kapt (B) Zahar Hashim mendakwa proses tender Eurocopter yang dibuat semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan untuk mengantikan helikopter Nuri adalah "gimik kerana berpihak pada satu syarikat."
Zahar mendakwa kerajaan boleh jimat hampir RM1.5 bilion jika kerajaan membeli helikopter Kazan-M172 dari Kelowna Flightcraft Ltd, syarikat yang diwakilinya daripada membeli Cougar EC-725 dari syarikat Jerman-Perancis, Eurocopter.
Beliau mendakwa Kazan-M172 memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bernilai RM898 juta sementara Cougar pula berharga RM2.317 bilion.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment