23 October 2008

Shahidan anggap saranan Rais hina Umno ~ Bharian

KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menganggap saranan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya semua jawatan tertinggi parti Umno dipertandingkan secara 'tender' sebagai menghina parti Melayu terbesar itu.

Beliau berkata, gejala politik wang tidak akan dihapuskan melalui sistem itu, malah menenggelamkan amalan demokrasi kerana hanya yang mempunyai wang yang banyak yang dapat menguasai parti.

“Kalau marah kepada politik wang, jangan sampai nak adakan sistem tender dalam Umno,” katanya di sini, hari ini.

Rais yang juga Menteri Luar dilaporkan membuat saranan itu semalam kerana muak dengan gejala politik wang yang didakwa berlaku semasa pemilihan Umno bahagian.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu secara berseloroh berkata, jika beliau diminta menilai Rais secara tender maka nilai yang akan diberikan kepadanya hanya RM1.

Shahidan yang juga Ketua Umno bahagian Arau berkata politik wang mempunyai tafsiran yang luas dan ada yang menganggap sumbangan kewangan bagi menjayakan mesyuarat cawangan Umno sebagai politik wang.

Beliau yang menawarkan diri untuk mengekalkan jawatan MT pada pemilihan parti Mac depan, mencadangkan supaya segala kos kegiatan Umno di semua peringkat termasuk cawangan ditanggung sepenuhnya oleh Ibu Pejabat Umno bagi mengelakkan gejala politik wang.

“Jika semua kos ditanggung Ibu Pejabat Umno, tiada individu yang berpeluang untuk melakukan politik wang seperti menaja kos mesyuarat atau makanan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

No comments:

Post a Comment