TAMPIN: Seekor anjing menjadi penyelamat kepada tuannya yang juga seorang pengawal keselamatan selepas ia bergelut dengan seorang lelaki yang cuba menyamun tuannya, di Taman Asahan, Gemencheh di sini, awal pagi semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, pengawal keselamatan itu yang hanya dikenali sebagai Arumugam, 45, didatangi seorang lelaki dipercayai cuba menyamunnya ketika bertugas di sebuah kedai menjual peralatan binaan.
Lelaki terbabit dipercayai menyerang mangsa sehingga berlaku pergelutan sebelum anjing milik pengawal keselamatan itu menyelamatkan tuannya.
Akibat kejadian itu, lelaki berusia 29 tahun itu cedera parah dan disahkan meninggal dunia selepas setengah jam dimasukkan ke Hospital Tampin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron, berkata ketika anjing peliharaan mangsa menyerang suspek, mangsa berjaya melepaskan diri dan menumpang sebuah van untuk membuat laporan polis di Balai Polis Gemencheh dengan muka berlumuran darah akibat cedera di kepala.
“Mangsa kemudian mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Gemencheh dan menerima 10 jahitan,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan dan menemui suspek sedang terbaring di hadapan bangunan kedai dengan kesan lebam di seluruh badan akibat diserang anjing selain dipercayai dipukul objek tumpul.
“Suspek yang masih bernyawa kemudian dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.
No comments:
Post a Comment