KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof dalam satu ulasannya membayangkan Ezam Mohd Noor kini dilihat tidak memberi ‘apa-apa’ untuk Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana tempoh Abdullah bertakhta di dalam Umno hanya berbaki beberapa bulan lagi.
Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat (AMK) mungkin akan dipergunakan oleh bakal Presiden Umno yang baru, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Tapi saya percaya Najib tidak akan mempersia-siakan kehadiran Ezam di dalam Umno. Najib sedang merencana banyak agenda dalam persediaan beliau mengambil alih tanggungjawab sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya.
Antaranya adalah tanggungjawab besar beliau untuk memulihkan kredibiliti Umno dan BN di mata rakyat, ujar Sabki yang juga seorang peguam.
Beliau berkata demikian dalam satu ulasan yang diterbitkan dalam blognya, sabki.blogspot.com baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Sabki berkata dalam pilihan raya umum ke-12 membuktikan rakyat menuntut reformasi besar dalam pentadbiran negara kerana di mata rakyat, Malaysia sudah kepupusan nilai demokrasi dan keadilan.
Di mata rakyat juga, pemimpin BN dan Umno adalah pengamal politik rasuah dan korupsi, justeru katanya untuk Umno dan BN terus relevan dalam persada politik negara, mereka mesti berusaha merubah hakikat ini, katanya.
Kebangkitan rakyat menuntut integriti, keadilan dan pemulihan demokrasi mesti ditangani Najib, katanya.
“Apakah Najib akan menggunakan Ezam untuk membuktikan kepada rakyat bahawa beliau sedang melaksanakan pemulihan demokrasi dan perang terhadap rasuah?,” ujarnya.
Ezam adalah tokoh demokrasi dan anti rasuah sejak sekian lama, seperti kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, diri Ezam itu bagai sebuah instititusi yang memperjuangkan demokrasi dan menentang rasuah.
“Saya yakin semangat dan inspirasi menentang rasuah masih berpasak dalam diri Ezam, dan saya harap ianya masih sekental dulu,” kata Sabki dengan sinis.
Berbicara lanjut, Sabki berkata di awal zaman awal 80-an, ketika Umno berdepan dengan kebangkitan idealisma Islam sedunia Dr Mahathir telah membawa masuk Anwar untuk memberikan imej Islam kepada Umno.
“Kemasukan Anwar, tokoh muda ABIM ke dalam Umno telah memberikan keyakinan kepada umat Melayu Islam bahawa Umno cukup serius dalam pelaksanaan Islam.
“Ia juga berjaya mengimbangi suara PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang melaungkan pelaksanaan Islam dalam pentadbiran negara. Maka rakyat terpesona dengan Umno dan melupakan PAS. Apa yang terjadi pada Anwar selepas itu adalah sejarah yang kita semua maklum,” katanya.
Sabki melihat, mungkin kali ini Umno di bawah Najib akan menggunakan Ezam untuk meredakan tuntutan rakyat dan pembangkang kepada demokrasi dan penentangan terhadap rasuah. “Mungkin selepas ini, Ezam akan diberikan satu kedudukan penting dalam mana-mana portfolio kerajaan dalam menangani rasuah,” katanya.
Sabki membayangkan bahawa Ezam akan menjadi Anwar nombor dua kepada Umno dalam semua usaha itu dalam meraih kepercayaan rakyat yang kini luntur.
Sebelum itu Sabki menyatakan beliau sempat mengunjungi Ezam di rumahnya di Shah Alam pada 25 Oktober lalu ketika bekas Ketua AMK itu mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri. ~ Harakahdaily
No comments:
Post a Comment