ALOR STAR - Anak lelaki seorang pegawai kastam ditendang dan ditetak enam penyamun bertopeng yang menceroboh masuk rumah keluarganya di Kampung Sungai Baru, Gunong dekat Gunung Kerian di sini semalam.
Sebelum kejadian pukul 4 pagi, Mohd. Shahmi Mohamad, 20, belum tidur dan leka bermain permainan komputer di sebuah bilik di rumah dua tingkat itu.
"Tiba-tiba komputer Shahmi terpadam. Shahmi keluar dari bilik untuk memeriksa suis komputer yang berada di luar bilik.
"Semasa itulah Shahmi terus disambar empat lelaki,'' cerita Penolong Kanan Pengarah Kastam Pulau Pinang, Mohamad Said.
Suis komputer itu sebenarnya sengaja dipadam oleh penyamun itu bagi mengumpan Shahmi supaya dia keluar dari bilik tersebut.
Menurut beliau, anaknya yang terkejut melawan dan dapat melepaskan diri sebelum ia melarikan diri keluar rumah.
Bagaimanapun, di luar rumah Shahmi sekali lagi ditahan dan semasa itulah Shahmi ditendang dan tangan kanannya ditetak.
Ujarnya lagi, Shahmi kemudian disuruh mengetuk pintu biliknya bagi mengejut beliau dan isteri yang sedang tidur.
"Apabila isteri membuka pintu, empat penyamun terus acukan parang ke leher kami.
"Anak perempuan saya yang tidur di bilik sebelah turut di suruh berkumpul di bilik saya dan kami empat beranak kemudian diikat dengan tali rafia,'' ujarnya.
Selepas itu, Mohamad memberitahu, penyamun itu mengarahkan beliau menyerahkan wang perniagaan kedai bunga isterinya dan semua barang berharga lain. ~Kosmo
* Malaysia yang aman dan sejahtera
No comments:
Post a Comment