KUALA LUMPUR 1 Okt. — Sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi.
Menurut saksi yang melihat tindak-tanduk mereka, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengahari untuk menyerahkan patung beruang dan kad Hari Raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang menjalani tahanan.
Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat Hari Raya.
Abdullah memberitahu pemberita bahawa kumpulan itu mahu berjumpa beliau secara peribadi tetapi beliau tidak dapat bertemu secara khusus dengan mana-mana pihak kerana acara itu adalah rumah terbuka Hari Raya.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment