SUNGAI PETANI: Sekumpulan penduduk yang dikatakan berang dengan bunyi bising enjin motosikal yang dinaiki dua remaja lelaki bertindak menyerang mereka menyebabkan seorang daripada mereka mati manakala seorang lagi cedera.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin di jalan utama Taman Kelisa Ria, Amanjaya, dekat sini, apabila kedua-dua lelaki itu dikejar sekumpulan penduduk dengan senjata tajam.
Mangsa, M Thamodran, 19, dari Kampung Rusa, Amanjaya mati di tempat kejadian selepas kepalanya ditetak manakala rakannya yang cedera menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Sumber berkata, sebelum itu, mangsa bersama rakannya menaiki sebuah motosikal pergi ke kawasan Kongsi 14, Amanjaya dan dipercayai membuat bising di depan kedai dengan kenderaan berkenaan, kira-kira jam 8.30 malam.
Katanya, akibat tindakan mangsa bersama rakannya, penduduk kawasan itu berang lalu bertindak mengejar kedua-dua remaja terbabit menyebabkan mereka melarikan diri dengan motosikal.
“Kumpulan penduduk terbabit pada mulanya gagal mengesan mangsa dan rakannya di rumah mereka lalu mencarinya di kawasan sekitar sebelum menemui kedua-dua mereka yang cuba melarikan diri.
“Mangsa yang bekerja di kedai alat ganti kenderaan kemudian dipercayai ditetak di kepala dengan senjata tajam dan mangsa mati di tempat kejadian manakala rakannya cedera ringan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang, berkata pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan setakat ini seramai enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan.
“Mangsa sebelum ini pernah ditahan polis bagi siasatan beberapa kes jenayah. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati,” katanya.
www.hmetro.com.my
* Hilang keyakinan terhadap undang-undang negara, undang-undang sendiri digunakan.
No comments:
Post a Comment