24 October 2008

Pemilihan UMNO...Disember atau Mac? ~ Agendadaily

Disember atau Mac? Itulah keputusan yang ditunggu oleh ahli-ahli UMNO khususnya sama ada pemilihan parti itu akan diadakan pada tarikh asal Disember ini atau kekal Mac 2009.

Malah, keputusan itu juga dinantikan kerana ada kenyataan yang dibuat bahawa Majlis Tertinggi UMNO yang akan bermesyuarat 30 Oktober depan dijangka akan membincangkan soal tempoh kempen pemilihan parti tersebut.

Perkara tersebut berbangkit apabila pelbagai pandangan mengenai tempoh kempen yang panjang diberikan. Rata-rata berpendapat, tempoh yang panjang itu boleh menyebabkan macam-macam hal berlaku.

Sebelum ini Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan alasan tempoh kempen yang panjang boleh jejaskan tumpuan dan produktiviti calon khususnya yang memegang jawatan dalam kerajaan.

Kenyataan Muhyiddin itu disambut oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang secara khusus mencadangkan tarikh pemilihan dikembalikan kepada Disember kerana tempoh kempen yang pajnag akan mewujudkan unsur tidak sihat seperti fitnah dan gejala politik wang.

Terbaru hari Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail berkata, tempoh kempen yang terlalu panjang boleh menyebabkan gejala rasuah politik semakin berleluasa.

Mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, buat masa ini tiada perubahan tarikh pemilihan parti yang diputuskan.

Sebelum ini pada 21 Oktober lalu lalu (Selasa), Najib berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijangka diadakan pada 30 Oktober ini akan membincangkan mengenai tempoh kempen pemilihan UMNO.

''Kita akan jawab semua soalan ini pada 30 haribulan, buat masa ini, tidak ada sebarang perubahan tarikh yang dibuat,'' kata Najib.

Sementara itu di Beijing Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan tarikh pemilihan dipercepatkan hanya berkata “Kami telah mempunyai pelan peralihan kuasa, dan pelan ini berkuatkuasa pada Mac tahun depan”.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang diberikan, isu tempoh kempen yang panjang dijangka akan dibincangkan pda mesyuarat MT yang akan datang kerana pelbagai pandangan dibangkitkan bukan sahaja oleh kalangan pemegang jawatan tertinggi dalam parti tetapi juga kalangan pimpinan UMNO di peringkat Bahagian.

Namun keputusan mesyuarat itu, ia mungkin akan memberikan cadangan beberapa bentuk kaedah bagi pastikan tempoh kempen yang panjang tidak mewujudkan suasana yang tidak sihat kepada pemilihan UMNO ataupun hanya membuat pengesahan kepada keputusan yang dibuat sebelum ini untuk menangguhkan pemilihan parti pada Mac 2009.

Tinjauan umum Agendadaily mendapati tempoh kempen yang panjang dilihat boleh mewujudkan suasana tidak sihat termasuk kemungkinan wujudnya gejala politik wang tetapi pada masa yang sama temoh kempen yang panjang memberikan ruang yang lebih kepada yang akan bertanding bertemu para perwakilan.

No comments:

Post a Comment