24 October 2008

KG Plentong: Mangsa ISA dikasari walau berkerjasama beri keterangan ~ Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 24 Oktober (SK) - KETUA bahagian perkhidmatan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) cawangan Johor Bharu (JB), Cheng Lee Whee, 26, mendedahkan bahawa beliau telah dikasari, digari tangan ke belakang dan dimaki oleh polis walaupun berkerjasama memberi keterangan dengan baik.

Beliau telah membuat pendedahan penyalahan guna kuasa tersebut semasa Suaram JB menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Cheng telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), seksyen 28, kanun keseksaan seksyen 182, pada 17 Oktober lalu semasa memberi kenyataan di Balai Polis Seri Alam.

Beliau disyaki menyebarkankan maklumat palsu berhubung kandungan laporan polis tentang kes pengusiran paksa di Kampung Baru Plentong Tengah yang dipaparkannya di Portal Polis Kontinjen Johor (http://www.polisjohor.gov.my).

Memorandum yang diterima oleh Pesuruhjaya Suhakam, Khalid Ibrahim, turut menuntut Suhakam menubuhkan satu suruhanjaya siasatan untuk kejaidan pengusiran paksa Kampung Plentong.

Cheng turut memberitahu barang-barangnya yang dirampas seperti komputer riba dan thumbdrive masih berada di tangan pihak polis walaupun beliau dibebaskan di bawah ikatan jaminan.

Tangkapan ISA bukan tahanan ISA

Beliau berkata bahawa Pegawai Penyiasat (IO) Inspektor Azman memberitahu yang beliau ditahan dibawah ISA di mana di bawah seksyen 28 yang menyatakan “Mana-mana orang yang melalui percakapan atau tulisan atau dalam apa-apa surat khabar, majalah berkala, buku, surat pekeliling atau penerbitan bercetak yang lain atau melalui apa-apa cara lain menyebar laporan-laporan palsu atau membuat pernyataan-pernyataan palsu yang menyebabkan keselamatan awam.”

Perkara ini diperkuatkan lagi oleh kenyataan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Syed Hamid Albar, bahawa Cheng hanya ditahan untuk soal siasat bawah ISA dan bukannya seorang tahanan akta itu.

Jumaat lepas, Cheng yang merupakan graduan Sains Komputer, Universiti teknologi Malaysia, membuat aduan berhubung penangkapan 27 orang di Kampung Baru Plentong Tengah, JB. Namun, beliau didakwa menyebarkan maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan di kalangan orang ramai.

Menteri yang bertanggungjawab tersebut berkata Cheng bukan seorang tahanan ISA tetapi dituduh bawah Seksyen 28 akta itu dan dia boleh membela diri di mahkamah kerana membuat laporan palsu.

“Tolong baca akta itu… Akta itu bukan hanya penahanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian tersebut.

Cheng, ditangkap bagi membantu siasatan berhubung tulisannya di laman web polis Johor yang boleh menyebabkan kebimbangan di kalangan orang ramai, demikian menurut Bernama.

Bagaimanapun beliau dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama beliau ditangkap.

“Pihak polis terpaksa melepaskan saya kerana majistret menolong pemohonan dua hari remanan terhadap saya,” jelas beliau semasa menjawab pertanyaan Pesuruhjaya Suhakam.

Menurut seksyen itu, mereka yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda RM5,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 73 akta itu pula memperuntukkan seseorang itu boleh ditahan selama 60 hari, sementara Seksyen 8 membenarkan menteri dalam negeri menahan seseorang sehingga dua tahun tanpa perbicaraan.

Suhakam bersetuju laporan Cheng tiada unsur hasutan

Pesuruhjaya Suhaman, Khalid Ibrahim (kiri) menerima memorandum daripada delegasi Suaram yang terdiri daripada (dari kiri) Cheng Lee Whee, Koordinator Suaram Moon Hui dan wakil Suaram Johor Nyam Kee Han

Sementara itu, pihak Suhakam turut menyokong Cheng setelah meneliti laporan polis yang dibuatnya, dan berpendapat laporan tersebut tidak mengandungi unsur hasutan.

Walaubagaimana pun, ketika wartawan meminta penjelasan mengenai pendirian Suhakam berhubung ISA, pendirian Suhakam
masih kabur.

Secara amnya, Suhakam ingin kerajaan memansuhkan ISA namun atas alasan sudah hampir sepuluh tahun Suhakam memperjuangan isu tersebut dan tiada apa-apa maklum balas daripada pihak berwajib, maka Suhakam mengambil pendekatan menyokong ISA dijadi semula dan akta-aktanya dipinda.

“Lebih baik ISA dikekalkan tapi sebahagian aktanya dipinda kerana bimbang jika ISA dibubarkan, keselamatan negara akan terancam,” jelas Khalid.

Bagaimanapun, beliau bersetuju akta-akta lain sudah cukup untuk menjaga keselamatan negara terutama daripada ancaman penganas walaupun ISA sudah tidak wujud di negara ini.

Suhakam akan siasat dan bincang tindakan seterusnya

Khalid juga menyatakan Suhakam akan mengada siasat berpandu laporan atau memorandum yang diserahkan oleh Suaram. Tiga isu utama akan ditekankan iaitu masalah status tanah di Kampung Plentong; perhimpunan aman di Kampung Plentong yang diganggu oleh pihak polis; dan kejadian tangkapan ISA terhadap Cheng.

Perkara tersebut akan dibawa dalam mesyuarat mingguan suruhanjaya iaitu pada 29 Oktober depan, untuk membincangkan bagaimana tindakan mereka seterusnya terhadap apa yang dilaporkan.

No comments:

Post a Comment