BELUM pun selesai skandal komisyen jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene, Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak terpalit dalam satu lagi skandal: kontrak perolehan Eurocopter menggantikan helikopter Nuri.
Merasmikan sesi terakhir penggal pertama Persidangan Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membongkar kecurigaan-kecurigaan serius dalam perolehan helikopter berdaya tinggi ini.
Anwar berkata demikian dengan merujuk kepada surat rasmi yang dihantar syarikat pembida helikopter, Mentari Services, kepada Timbalan Perdana Menteri Najib Abdul Razak. Surat tersebut mendedahkan kerajaan telah bersetuju membeli 10 unit Eurocopter, walhal pembida lain menawarkan helikopter berkeupayaan sama pada nilai yang jauh lebih menjimatkan.
Pada 26 September lalu, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan akan menggantikan angkatan helikopter Nuri kepada Eurocopter Cougar EC725 buatan Perancis. Bagi tujuan tersebut, kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1.93 bilion untuk membeli 12 unit helikopter baru.
Helikopter Eurocopter Cougar EC725 adalah satu dari empat jenis helikopter yang disenarai pendek oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Keempat-empat syarikat terbabit dalam bidaan tersebut menawarkan spesifikasi memenuhi kehendak Kementerian Pertahanan (Mindef).
Harga tender yang ditawarkan Eurocopter bagi 10 helikopter itu adalah RM2.317 bilion dan adalah harga yang paling tinggi. Mentari Services, melalui syarikat induk Kelowna Flightcraft menawarkan helikopter buatan Rusia Mi-172 KF pada harga RM898 juta, manakala syarikat pembuat Nuri, Sikorsky dari Amerika Syarikat, menawarkan helikopter alaf baru S-92 pada harga RM1.452 bilion.
“Persoalan yang berbangkit adalah, syarikat Eurocopter adalah pembida tertinggi, berbanding pembida Rusia yang menawarkan RM1.4 bilion jauh lebih murah. Mungkin ini adalah dasar kerajaan memilih pembida paling tinggi, supaya komisyen yang mereka dapat pun tinggi.”
Sepanjang Dewan Rakyat bersidang, Menteri Kewangan Najib Razak dan Menteri Pertahanan Abdullah Ahmad Badawi serta timbalan mereka tidak hadir dalam sesi tersebut, lantas menggagalkan sebarang usaha menuntut penjelasan dari mereka
Namun skandal kali ini tidak terhenti setakat itu. Cara pemilihan helikopter dibuat amat mencurigakan. Pengerusi Mentari Services, Kapten (B) Zahar Hashim, mempersoalkan kebijaksanaan Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan meluluskan perolehan Eurocopter tanpa melalui fasa percubaan sepenuhnya.
Dalam hal ini, kerajaan dilaporkan tergesa-gesa meluluskan tender Eurocopter walhal ujian penilaian ke atas keempat-empat helikopter belum selesai dijalankan. Bahkan, kerajaan enggan melakukan ujian penerbangan ke atas helikopter Kelowna dan Sikorsky.
Menurut Kapten (B) Zahar, Kelowna sudi menyediakan sebuah helikopter Mi-172KF secara percuma untuk tempoh ujian enam bulan namun kesudian itu ditolak kerajaan. Manakala wakil Sikorsky langsung tidak dihubu-ngi sama-sekali.
“Belum pun proses penilaian selesai dijalankan dengan tiba-tiba arahan diberi pihak tertentu supaya Letter of Intent (LOI) dikeluarkan kepada Eurocopter. LOI ini ditandatangani seorang pegawai menengah di Kementerian Pertahanan pada 15 September 2008, iaitu dua hari sebelum Najib Tun Razak berpindah ke Kementerian Kewangan,”
Dua unit Mi-17 telah dibeli dan digunakan oleh Bomba Malaysia yang dilaporkan amat berpuas hati dengan prestasi helikopter itu. Helikopter buatan Rusia itu digunakan secara meluas dalam konflik peperangan di merata dunia, dan ketahanannya terkenal di kalangan komuniti ketenteraan. Sebanyak 12,000 unit Mi-17 telah dijual dan digunakan di 60 buah negara.
Manakala S-92 buatan Amerika Syarikat pula antara yang terbaik dan termaju dalam kelasnya, menjadi pilihan negara-negara Barat khususnya Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta negara-negara Timur Tengah.
Hanya Perancis, selaku pemilik saham terbesar dalam syarikat Eurocopter, yang mengendalikan Eurocopter EC 725.
Meneruskan ucapan beliau, Anwar menegaskan unsur-unsur mencurigakan dalam pembelian Eurocopter ini menjustifikasikan penyiasatan menyeluruh. Kerajaan telah bersikap sangat tidak profesional, sangat tidak telus, dan tidak memikirkan beban ekonomi yang ditanggung rakyat.
“Secara logik, adalah tidak munasabah Kementerian Pertaha- nan membuat keputusan membeli helikopter pada harga dua ratus juga ringgit tanpa menemui wakil penjualnya dan melakukan ujian penerbangan.”
Tambah beliau, sikap tergesa-gesa Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan sememangnya luar biasa. Di saat negara diancam kemelesetan, sikap tidak bertanggungjawab Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan dalam perolehan aset tentera amat dikesalkan.
“Soalnya, apakah negara kita boleh terus menelan dan menerima kecurangan-kecurangan sedemikian yang cukup mengaibkan?”
No comments:
Post a Comment