09 October 2008

Misteri rumah 2 beradik ~ HMetro

IPOH: Keadaan rumah teres dua tingkat milik dua beradik mangsa percubaan rompak di Taman Harmoni, dekat sini, Isnin lalu yang tidak terurus, tetapi dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) menimbulkan persoalan khususnya di kalangan jiran tetangga mereka.

Seorang jiran berhampiran yang enggan namanya disiarkan, berkata dia tidak mengenali keluarga mangsa kerana mereka tidak pernah bergaul dengan jiran sekeliling.

Bagaimanapun, dia hairan kerana rumah mangsa dilengkapi CCTV di anjung letak kereta sedangkan persekitaran rumah mereka tidak terurus seolah-olah tiada berpenghuni.

“Saya tidak tahu apa pekerjaan dua beradik itu kerana mereka tinggal di rumah itu bersama beberapa ahli keluarga dan tidak bergaul dengan masyarakat sekeliling.

“Jika dilihat sekali imbas, orang pasti mengatakan rumah didiami mereka tidak berpenghuni kerana persekitarannya tidak terurus selain banyak sampah, tetapi saya hairan mengapa ada CCTV di depan rumah mereka,” katanya.

Seorang lagi jiran yang juga enggan namanya disiarkan berkata, ada hari-hari tertentu ramai orang luar tidak dikenali mengunjungi rumah itu pada waktu malam, tapi tidak pasti sama ada mereka saudara keluarga pemilik rumah atau rakan mereka kerana sebaik memasuki rumah, pintu dan langsir akan ditutup rapat.

“Saya juga hairan dengan tindakan tergesa-gesa keluarga pemilik rumah itu keluar dari rumah pada pagi selepas kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, dalam tinjauan Harian Metro di rumah mangsa mendapati rumah itu tidak berpenghuni selain kelihatan CCTV dipasang di siling anjung rumah berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Isnin lalu, parang yang digunakan suspek berusia 39 tahun untuk mengugut dua wanita berusia 45 dan 55 tahun yang baru tiba di rumah mereka selepas berniaga di sebuah restoran dekat sini, memakan dirinya.

Ia berlaku apabila pasangan beradik itu nekad melawan biarpun suspek mengacukan parang ke leher seorang daripada mangsa dan mengugutnya menyerahkan wang tunai dan barang berharga milik mereka.

Pergelutan suspek dengan kedua beradik itu berakhir apabila suspek parah akibat ditetak serta dikelar dengan parangnya sendiri di leher, kepala, tangan dan perut.

Penyamun itu cuba melarikan diri sebelum rebah di hadapan sebuah rumah kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dan mati kira-kira 20 minit kemudian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh I, Superintendan Idris Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai motif kejadian itu dan memberitahu siasatan masih dijalankan.

“Setakat ini siasatan dijalankan mengikut keterangan diberikan mangsa. Namun, kami mengalu-alukan mana-mana saksi kejadian itu supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment