SINGAPURA 8 Okt. - Harga minyak mentah dunia jatuh di bawah paras AS$87 (RM303.63) setong hari ini di Asia ekoran kebimbangan pelabur terhadap krisis kredit bermula di Amerika Syarikat (AS) akan menyebabkan kelembapan ekonomi global dan menjejaskan permintaan terhadap minyak mentah.
Minyak mentah berkualiti tinggi Light Sweet untuk penghantaran November jatuh AS$3.26 (RM11.34) kepada AS$86.80 (RM302.06) di New York Mercantile Exchange pada dagangan tengah hari di Singapura.
Semalam harga minyak meningkat AS$2.25 (RM7.83) untuk berada pada paras AS$90.06 (RM313.40).
Pakej bantuan sistem kewangan AS bernilai AS$700 bilion (RM2.4 trilion) yang diluluskan Jumaat lalu, gagal menenangkan pelabur terhadap keadaan ekonomi yang semakin buruk.
Indeks Dow Jones jatuh lebih 500 mata Selasa lalu kepada paras terendah sejak lima tahun lalu.
Krisis tersebut turut merebak ke seluruh Eropah, dengan kerajaan Britain mengumumkan pelan menasionalkan sebahagian bank utamanya.
Pihak Perbendaharaan berkata, lapan bank telah menerima tawaran pelan permodalan semula yang menawarkan AS$87.5 bilion (RM303.62) dalam bentuk saham pilihan.
Pasaran Asia mengalami kejatuhan yang teruk hari ini dengan pasaran Jepun jatuh hampir 10 peratus dan Hong Kong turut jatuh 8 peratus.
''Kita menghadapi masalah besar di seluruh dunia.
''Ekonomi dunia diibaratkan seperti sebuah rumah dimasuki anai-anai,'' kata Peter McGuire, Pengarah Urusan di firma pelaburan Commodity Warrants Australia di Sydney.
Para pelabur sedang melihat tanda kelembapan ekonomi AS dalam laporan inventori minyak mingguan yang akan dikeluarkan Jabatan Pengurusan Maklumat Tenaga AS.
Laporan bekalan petroleum dijangka menunjukkan penurunan sebanyak satu juta tong, menurut penganalisis melalui kaji selidik oleh penyedia maklumat tenaga Platts.
Kaji selidik Platts itu juga menunjukkan, penganalisis menjangkakan inventori gasolin akan meningkat dua juta tong dan produk yang disuling meningkat satu juta tong pada minggu lepas.
Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum (OPEC) mungkin akan menurunkan pengeluaran sekiranya harga minyak mentah dunia terus turun, tetapi pemotongan itu akan terbatas terhadap kebimbangan peningkatan kos tenaga akan merangsang kelembapan ekonomi, kata McGuire.
''OPEC hanya berminat untuk mengambil langkah tersebut.
''Kita bakal menyaksikan penurunan kadar faedah dan peningkatan perbelanjaan kerajaan sebagai langkah penyelesaian,'' katanya.
Harga minyak jatuh sebanyak 40 peratus sejak meningkat ke paras tertinggi menghampiri AS$150 (RM522) pada Julai lalu.
Bank Pusat Australia mengejutkan pasaran semalam, apabila menurunkan kadar faedah sebanyak enam peratus pemotongan terbesar sejak 1992.
Di London, minyak mentah Brent North Sea jatuh AS$1.77 (RM6.15) kepada AS$82.89 (RM 288.45) setong.
- AP
* Naikkan harga minyak cepat, turunkan cukup liat
No comments:
Post a Comment