KUALA LUMPUR: Seorang nenek yang mempunyai tujuh cucu menempuh saat paling menakutkan apabila hampir menjadi mangsa nafsu buas seorang lelaki warga Afrika ketika pulang daripada bekerja.
Ketika kejadian kira-kira jam 10.45 malam Ahad lalu, Fatimah Ahmad, 50, dipeluk dari belakang sebelum diraba ‘Awang Afrika’ terbabit yang bertubuh dua kali ganda lebih besar daripadanya.
Menurut Fatimah, kejadian berlaku ketika dia baru pulang daripada kerja dengan menaiki komuter dari Stesen KL Sentral di sini.
“Sebaik tiba di Stesen Komuter Kepong Sentral, saya berjalan bersendirian menuju perhentian bas di seberang stesen berkenaan.
“Ketika melintasi jejantas berhampiran, saya langsung tidak perasaan kemunculan lelaki warga Afrika terbabit yang mengekori saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.
Terkejut dengan tindakan Awang Afrika terbabit yang secara tiba-tiba memeluknya dengan kuat dari belakang, Fatimah meronta-ronta ketakutan sambil menjerit meminta pertolongan.
“Jerutan kuat itu menyebabkan saya sesak nafas dan tidak dapat melepaskan diri walaupun cuba menolak lelaki terbabit.
“Pada masa sama lelaki itu bertindak lebih ganas dengan menekup mulut dan hidung saya dengan tangannya bertujuan membuat saya sesak nafas serta pengsan,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, dia cuba membebaskan dirinya kerana mengesyaki niat lelaki terbabit untuk merogolnya.
“Lebih malang kerana saya tidak dapat menjerit bagi mendapatkan bantuan berikutan cengkaman tapak tangan lelaki berkenaan bertambah kuat.
“Namun, saya dapat memijak kaki lelaki itu menggunakan kasut tumit tinggi yang saya pakai,” katanya.
Tindakan itu menyebabkan lelaki Afrika itu kesakitan sebelum melonggarkan pelukan terhadap tubuhnya.
“Peluang itu saya gunakan untuk menggigit jari tangan kirinya yang masih menutup mulut saya. Lelaki terbabit yang kesakitan kemudian melepaskan tangannya.
“Saya menjerit sekuat hati meminta tolong menyebabkan lelaki terbabit panik,” katanya yang bekerja sebagai penyelia pembersihan di pusat beli-belah.
Dia yang menyangkakan lelaki Afrika itu akan melarikan diri sebaliknya tergamam apabila ditampar pendatang asing terbabit.
“Tamparan kuat berkenaan mengenai tepat mata kanan saya mengakibatkan mata saya cedera. Pada masa sama lelaki Afrika yang berusia 30-an itu melarikan diri.
“Saya yang kesakitan pulang ke rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kepong pada malam kejadian,” katanya.
Kejadian berkenaan menyebabkan dia trauma sehingga kini selain terpaksa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
“Saya yakin lelaki terbabit sememangnya berniat mahu memperkosa saya berikutan kawasan terbabit agak gelap selain berdekatan dengan semak,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan dia kini takut untuk menaiki komuter ke tempat kerja dan terpaksa dihantar dan dijemput suaminya.
Fatimah berkata, apa yang dikesalkan tiada seorangpun kakitangan stesen berkenaan di lokasi ketika kejadian walaupun waktu perkhidmatan komuter belum tamat.
“Keadaan di sekitar stesen itu agak gelap, malah tiada langsung pengawal keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan penumpang yang turun di stesen berkenaan,” katanya.
* Rakyat terus hidup dalam ketakutan dan tidak selamat. Di US, ketua polis tempatan dipilih oleh penduduk tempatan melalui undian (tanpa undi pos) untuk pastikan yang buat kerja memegang jawatan penting itu.
No comments:
Post a Comment