24 October 2008

Kabinet bakal dirombak – PM ~ Utusan

BEIJING 23 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan akan berlaku rombakan Kabinet ekoran perubahan pucuk pimpinan MCA baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bagaimanapun memberi ruang kepada Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk menemuinya dan memaklumkan tentang sebarang perubahan yang hendak dilakukan itu.

“Saya ingat mungkin berlaku, tetapi Ong Tee Keat kena jumpa saya dululah sebagai Presiden MCA, jika beliau mahu membuat perubahan... perlulah maklumkan kepada saya terlebih dahulu apa yang patut dilakukan.

“Mestilah (saya beri ruang) dan saya anggap dia akan jumpa saya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Perwakilan Beijing Khazanah Nasional Berhad di Menara 2, China Central Place di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, buat masa ini, beliau belum berpeluang berjumpa dengan Tee Keat sejak Menteri Pengangkutan itu memenangi jawatan tertinggi parti komponen BN itu.

“Saya pun tak tahu lagi, dia pun sibuk lagi. Saya percaya apabila saya balik (ke Malaysia) beliau akan minta berjumpa dengan saya,” katanya.

Pada pemilihan MCA yang baru lalu, Tee Keat menepati ramalan apabila memenangi kerusi nombor satu menewaskan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng.

Bekas Naib Presiden MCA yang juga bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bagaimanapun mencipta kejutan apabila dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baru mengalahkan Setiausaha Agung parti yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Soi Lek sebelum ini melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran skandal video seks beliau yang mendapat liputan meluas.

Ditanya pandangan beliau mengenai kemenangan Soi Lek itu, Abdullah berkata: “Pada waktu ini saya tak dapat beri apa-apa pandangan. Saya nak dengar dulu apa pandangan Tee Keat mengenai perkara ini.”

Bagaimanapun Perdana Menteri meminta media supaya tidak membuat spekulasi mengenai kedudukan Soi Lek dalam Jemaah Menteri termasuk kemungkinan beliau dilantik sebagai Senator untuk membolehkannya mengisi jawatan menteri.

“Tak boleh (buat spekulasi), main agak-agak mana boleh,” kata Perdana Menteri.

* Bagaimana MCA boleh naikkan orang yang ada skandal lucah?

No comments:

Post a Comment