23 October 2008

Harga minyak di bawah AS$70 setong ~ Utusan

SINGAPURA 22 Okt. - Harga minyak mentah didagangkan lemah di Asia hari ini ekoran kebimbangan baru terhadap permintaan tenaga akibat kelembapan pertumbuhan global, kata pelabur.

Kontrak utama New York, minyak berkualiti tinggi Light Sweet untuk penghantaran Disember jatuh AS$2.72 (RM9.62) kepada AS$69.46 (RM245.88) setong daripada harga penutup di Amerika Syarikat AS$72.18 (RM255.51) semalam.

Minyak Brent North Sea untuk penghantaran Disember turun AS$2.42 (RM8.56) kepada AS$67.30 (RM238.24) setong, semalam dan ia didagangkan lemah AS$2.31 (RM8.17) kepada AS$69.72 (RM246.80) setong.

Harga pasaran minyak mentah terus jatuh pada sesi dagangan baru-baru ini akibat peningkatan tanda-tanda bahawa Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum (OPEC) bakal mengumumkan pelan untuk mengurangkan pengeluaran ketika perjumpaan khas yang diaturkan di Vienna pada Jumaat ini.

Namun kebimbangan terhadap kelemahan penggunaan tenaga ketika negara maju berhadapan dengan kelembapan ekonomi yang menyebabkan pelabur panik, kata peniaga.

''Kebimbangan terhadap permintaan minyak mentah telah melemahkan harga pasaran, walaupun perjumpaan OPEC pada 24 Oktober ini dijangka akan mengurangkan sasaran pengeluaran,'' kata David Moore, Ahli Strategi Komoditi di Bank Commonwealth Australia.

Mesyuarat OPEC akan datang, bakal menyaksikan ahli utama pertubuhan itu menyuarakan sokongan mereka terhadap pengurangan keluaran minyak bagi mengekang kejatuhan harga.

Semalam, Menteri Minyak Iran berkata, Tehran percaya OPEC perlu mengurangkan pengeluaran antara dua juta hingga 2.5 juta tong sehari, langkah itu akan membantu harga minyak meningkat melebihi AS$150 (RM531) setong.

''Pasaran perlu mencari keadaan stabil, dengan kejatuhan lapan hingga 10 peratus daripada permintaan serta bekalan minyak jatuh antara dua hingga 2.5 juta sehari akan membawa kestabilan kepada pasaran,'' kata Gholam Hossein Nozari pada sidang akhbar di Tehran.

Iran merupakan pengeksport kedua terbesar dalam OPEC dan ekonominya sangat bergantung kepada pendapatan minyak dan gas.

No comments:

Post a Comment